Nasib enam sekeluarga terbela

Nasib enam sekeluarga terbela

KUCHING, 27 Julai (Bernama) – Nasib enam sekeluarga termasuk seorang anak damit berusia dua bulan yang tinggal di bawah jambatan berdekatan Tamu Muhibbah, Miri, mendapat perhatian khusus Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin yang membuat kunjungan ke bawah jambatan itu pagi ini segera mengarahkan keluarga tersebut diletakkan sementara di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Miri. Lee dalam laman Facebooknya berkata beliau menerima maklumat mengenai nasib keluarga berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi dan segera menghubungi Jabatan Kebajikan Sarawak di Miri, Tabung Baitulmal Miri dan PBSM cawangan Miri untuk memberi bantuan kepada keluarga berkenaan.

Menurut Lee, selain diletakkan sementara di bangunan ibu pejabat PBSM cawangan Miri, anggota keluarga terbabit turut diberi pemeriksaan kesihatan.

Di samping itu, beliau telah meminta seorang pemilik hotel di kawasan tersebut agar memberi pekerjaan sebagai tukang masak kepada ketua keluarga tersebut. Difahamkan, keluarga tersebut tinggal di bawah jambatan tersebut sejak beberapa bulan lepas.