Nasib Greece bersama Eropah semakin kabur

Nasib Greece bersama Eropah semakin kabur

ATHENS, 13 Julai (AFP) – Hasrat Greece untuk kekal bersama zon Eropah semakin kabur apabila cubaan terakhir Perdana Menteri, Alexis Tsipras mengemukakan pelan pinjaman berjumlah 80 bilion euro selama tiga tahun untuk menyelamatkan negaranya, berdepan kebuntuan pada sidang tergempar Kesatuan Eropah (EU), semalam.

Menurut laporan portal The Guardian, Finland bertegas untuk menolak sebarang bentuk pinjaman kepada Greece dan Jerman meminta Athens dikeluarkan dari blok euro sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun.

Perbincangan antara 19 Menteri Kewangan anggota EU di Brussels berakhir malam tadi tanpa sebarang persetujuan dicapai antara semua pihak.

Walaupun nasib Athens dilihat semakin kabur, penganalisis ekonomi memberi harapan kepada rakyat Greece apabila menyatakan bahawa pelan pembaharuan ekonomi yang diluluskan oleh Parlimen negara itu mempunyai asas yang bagus bagi menjayakan rundingan.

Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schauble bagaimanapun menepis pandangan tersebut dan menerima sokongan daripada sejumlah negara anggota EU.

“Usul tersebut tidak boleh menyokong usaha baharu program ekonomi Greece dalam tempoh tiga tahun dan Athens perlu keluar dari zon euro untuk tempoh minimum lima tahun selain memindahkan aset negara sebanyak 50 bilion euro kepada agensi luar untuk dijual.

“Usul yang dibentangkan Athens tidak mencukupi dan jurang pembiayaan bagi menyelamatkan ekonomi negara itu tidak pernah dilihat setakat ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar German.

Ahli politik berfahaman nasionalis Finland, Timo Soini pula mengugut untuk menentang kerajaan jika Menteri Kewangan negara itu, Alex Stubb menyokong usul menyelamatkan Greece.

Kemelut ekonomi Greece menyaksikan pertelagahan antara negara EU apabila Perancis dan Itali menentang sokongan yang ditunjukkan oleh Canselor Jerman, Angela Merkel dan blok utara serta timur Eropah.

Dalam perkembangan sama, EU membatalkan sidang kemuncak melibatkan semua 28 anggota kesatuan tersebut untuk membincangkan nasib Greece bagi memberi laluan kepada perbincangan antara 19 menteri kewangan zon euro.

Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas proses rundingan yang berlangsung untuk hari kedua menemukan kesukaran dan mahu memastikan fokus diberikan kepada pelan ekonomi yang dikemukakan Greece.