Nasib hidup bersendirian

KUALA BELAIT, 9 Januari 2003 – Beginilah nasib kalau sudah sebatang kara. Hidupnya bersendirian, matinya tiada yang tahu.

Nasib malang ini berlaku ke atas seorang lelaki tua yang kematiannya hanya disedari selepas tiga hari dan setelah mayatnya mula berbau.

Allahyarham yang berasal dari Indonesia tetapi sudah menjadi penduduk tetap negara ini tinggal bersendirian di rumahnya dan dipercayai sudah meninggal dunia tiga hari sebelum jiran-jiran menemui mayatnya yang sudah berbau.

Polis ketika mengesahkan kejadian itu kepada Media Permata berkata mereka menerima laporan penemuan mayat lelaki tua pada Ahad lalu daripada salah seorang jiran yang mendakwa terhidu bau busuk dari dalam rumah lelaki tua itu.

Jiran-jiran menghubungi polis setelah mereka berusaha memanggil orang tua itu tetapi tidak berjawab.

Jiran berkenaan berkata beliau sebelum ini sering melihat lelaki tua itu keluar dari rumahnya tetapi kehairanan kerana sejak beberapa hari kelibat lelaki tua itu langsung tidak kelihatan, kata polis.

Jiran ini pada mulanya cuba masuk ke rumah itu tetapi tidak berani kerana berbau busuk dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena sudah berlaku ke atas orang tua itu.

Polis juga mengesahkan kepada Media Permata mayat lelaki tua itu dihantar ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk bedah siasat dan hasil bedah siasatan mendapat kematiannya bukan berpunca daripada perbuatan khianat. Mangsa dipercayai meninggal kerana sakit tua.