Nasib Juruukur Agung, ahli perniagaan 16 Sept ini

Nasib Juruukur Agung, ahli perniagaan 16 Sept ini

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150914_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Nasib Juruukur Agung Kementerian Pembangunan dan seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang disabit bersalah atas pertuduhan rasuah akan diketahui pada 16 September ini di Mahkamah Perantaraan.

Juruukur Agung, Haji Mohammed Jamil bin Haji Mohd Ali, 54, didapati bersalah pada 8 September lalu kerana menerima rasuah berjumlah $7,479.31.

Wang suapan itu adalah untuk pembayaran bil servis kereta, penggunaan telefon bimbit dan Internet jalur lebar serta enam keping tiket penerbangan pergi balik. Tertuduh juga didapati bersalah untuk 16 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Hukuman Jenayah, yang melarang mana-mana penjawat awam menerima ‘barang berharga’ semasa menjalankan tugas.

Sementara itu, ahli perniagaan tersebut, Puah Heng Yew dari syarikat Selective Powertech Consulting juga didapati bersalah kerana memberi rasuah kepada Haji Mohammed Jamil untuk mempelbagaikan spesifikasi tender bagi projek e-Map serta mengemukakan tuntutan pembayaran kemajuan kepada Kementerian Pembangunan antara Mei 2007 dan 2008.

Syarikat Selective Powertech Consulting pada tahun 2007 telah dipilih sebagai kontraktor utama bagi projek e-Map yang berharga AS$9.5 juta.

Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman denda sehingga $30,000 dan penjara selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 dan maksimum tujuh tahun penjara dan denda bagi setiap tuduhan jika didapati bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Hukuman Jenayah.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin, semalam, membenarkan ikat jamin kedua-dua tertuduh dilanjutkan sehingga tarikh jatuh hukuman.

Haji Mohammed Jamil diwakili Peguam Bela Ahmad Basuni Abas manakala Puah Heng Yew diwakili Peguam Shazale bin Haji Mohd Salleh.