Nasib komuniti asli di Taipei dibela

Nasib komuniti asli di Taipei dibela

TAIPEI, 1 Ogos – Memakai pakaian tradisional daripada hiasan kepala bulu pelepah kepada cawat, anggota komuniti penduduk asli Taiwan bertemu dengan Presiden Tsai Ing-wen hari ini ketika beliau membuat kenyataan maaf atas penderitaan berabad-abad lamanya termasuk kehilangan tanah moyang.

Tsai, pemimpin pertama pulau yang mempunyai warisan orang asli, akan mengetuai satu jawatankuasa untuk menyiasat ketidakadilan lampau sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meredakan ketegangan dengan komuniti asli.

“Saya meminta maaf kepada penduduk asli bagi pihak kerajaan, menawarkan kenyataan maaf kami atas penderitaan dan ketidakadilan yang anda alami dalam tempoh 400 tahun lalu,” kata beliau dalam ucapan.

“Kami perlu melihat secara serius pada sejarah dan bercakap benar,” kata beliau, menambah meminta maaf adalah “satu lagi langkah ke depan.”

Masyarakat penduduk asli, yang membentuk kira-kira dua peratus daripada 23.5 juta penduduk Taiwan, telah melihat budaya tradisional mereka dihakis sejak penghijrah mulai tiba dari China beberapa abad lalu.

Gambar fail 29 Jun 2016 menunjukkan Tsai Ing-wen bercakap dalam satu majlis di Sekolah Kej Andres Rodriguez di Asuncion, Paraguay. Tsai semalam memohon maaf bagi pihak kerajaan untuk orang asli di pulau ini bagi penaklukan dan penjajahan selama 400 tahun. – AP
Gambar fail 29 Jun 2016 menunjukkan Tsai Ing-wen bercakap dalam satu majlis di Sekolah Kej Andres Rodriguez di Asuncion, Paraguay. Tsai semalam memohon maaf bagi pihak kerajaan untuk orang asli di pulau ini bagi penaklukan dan penjajahan selama 400 tahun. – AP

Kebanyakan tanah mereka kini telah dijadikan taman negara, membawa kepada pertempuran mengenai pemburuan, penangkapan ikan dan pencarian di kawasan di mana permit diperlukan.

Penduduk asli juga telah mengadu mengenai pembangunan di tanah mo-yang mereka, yang dikatakan oleh pekempen membentuk dua pertiga daripada pulau, diluluskan tanpa mendapatkan pendapat mereka. Tsai berjanji akan menambah autonomi masyarakat penduduk asli, memulihkan hak tanah mereka yang hilang serta melindungi bahasa puak mereka.

Namun bagi sebahagian penduduk asli yang membantah di luar pejabat presiden pada pagi ini, janji beliau adalah tidak mencukupi.

“Kenyataan maaf adalah mengharukan, tetapi cadangan tindakan beliau tidak memenuhi jangkaan kami,” kata Mayaw Biho, seorang aktivis penduduk asli daripada puak Amis, yang telah berkhemah di luar semalaman. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA