Nasib lelaki ...

Nasib lelaki tumbuk pengawal diketahui 27 Februari ini

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seorang lelaki yang menumbuk seorang pengawal keselamatan wanita yang tersebar dalam media sosial telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Lelaki itu, Mohammad Hassanal bin Haji Abdul Rahman mengaku bersalah di hadapan Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan menumbuk muka dan kepalanya beberapa kali.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

Dia juga berdepan tuduhan mencetuskan gangguan dan didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman mengikut Seksyen 30(a) Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 yang membawa hukuman denda $1,000 dan setahun penjara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Gedung Perniagaan Hua Ho, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 6 Februari 2017 sekitar jam 2:15 petang.

pg06_mahkamah logo

Tertuduh mendakwa dia tidak berniat untuk melakukan kesalahan itu namun Ketua Majistret membidas dengan mengatakan tertuduh sudah pun menumbuk mangsa dan ia dianggap ‘niat’.

Laporan perubatan yang diterima dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Tertuduh, dalam kata-kata rayuannya, menyatakan rasa kesal akan perbuatannya dan dia tidak mempunyai niat untuk mencederakan mangsa.

Dia juga berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya itu.

Ketua Majistret Muhammad Faisal menetapkan 27 Februari untuk sebutan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA