Nasib Lotfar diketahui 29 Ogos ini

Nasib Lotfar diketahui 29 Ogos ini

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Nasib seorang pekerja binaan dari Bangladesh yang mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang wanita Filipina, akan ditentukan pada 29 Ogos ini.

Di Mahkamah Majistret, hari ini, Lotfar Rahman Abdul Gafar, 33, dari Bangladesh didakwa menggunakan kekerasan ke atas mangsa dengan memegang pinggang dan payudaranya, dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Subok pada 10 Ogos 2015 sekitar jam 9 hingga 10 pagi.

Terdahulu, tertuduh sambil menangis memohon kepada Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman supaya hukuman ke atasnya diringankan kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya di Bangladesh.

pg06_150820_mahkamah logo

“Saya ingin memohon maaf kepada mahkamah atas perbuatan saya,” kata tertuduh.

“Sepatutnya kamu meminta maaf kepada mangsa, dan bukannya kepada mahkamah,” jawab Pemangku Majistret Kanan.

“Saya sudahpun memohon maaf kepada mangsa dengan berjabat tangan dengannya,” balas tertuduh.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh telah diarah untuk membuat kerja pembinaan di rumah itu, dan ketika berada di bahagian dapur, tertuduh bertanya kepada mangsa, yang bekerja sebagai pembantu rumah untuk menunjukkan arah tandas.

Selepas menunjukkan arah tandas, mangsa meneruskan kerja di mana dengan tiba-tiba tertuduh memegang mangsa dari belakang, dan menggunakan kekerasan dengan memegang pinggang serta payudara mangsa.

Mangsa yang merasa marah diperlakukan sedemikian telah menjerit kepada tertuduh yang telah melepaskannya.

Mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada seorang lagi pekerja binaan berbangsa Filipina yang baru sahaja tiba di rumah itu.

Pekerja binaan itu kemudian memberitahu mengenai insiden itu kepada kakak majikan mangsa, yang tinggal bersebelahan.

Kakak kepada majikan mangsa kemudian bersemuka dengan tertuduh yang mengaku akan perbuatannya.

Laporan polis telah dibuat terhadap tertuduh di mana tertuduh mengaku memegang mangsa kerana tertarik kepadanya.

ARTIKEL YANG SAMA