Nasib McIlroy, Spieth berbeza

Nasib McIlroy, Spieth berbeza

TROON, United Kingdom, 15 Julai – Bintang golf Ireland, Rory McIlroy mengharungi permulaan baik di Terbuka British selepas melakukan dua bawah par 69 tamat pusingan pertama di Kelab Golf Royal Troon, hari ini.

Sekali pun cuaca baik di pantai Ayrshire, namun angin dari laut memberikan kesukaran buat pemain di ranking keempat dunia itu terutama pada sembilan lubang terakhir.

McIlroy berjaya melakukan empat birdie pada sembilan lubang pertama, termasuk satu pada lubang kelapan par tiga yang dikenali sebagai Postage Stamp.

Begitupun, bogey berganda pada lubang ke-13 menghalang momentum baiknya diikuti bogey pada lubang ke-14 sebelum kembali bangkit pada lubang berikutnya.

Apa yang diharungi McIlroy yang juga juara 2014 lebih baik daripada pemain Amerika Syarikat (AS), Jordan Spieth yang melakukan 71 pada hari pertama, menyamai par dengan melakukan tiga birdie dan tiga bogey.

Juara Masters 2015 dan Terbuka AS tampak seperti akan menamatkan saingan pembukaan dengan satu bawah par pada awalnya namun dia melepaskan pukulan pada lubang ke-18.

“Saya berkemungkinan melakukan pukulan seperti pemain lain di atas lapangan dan melakukan pukulan lima, enam pukulan di atas pendahulu, jadi ia selalunya tidak berlaku kepada saya,” kata Spieth.

“Ia secara normal adalah pusingan terendah bagi saya. Jadi jika saya mengekalkan rentak dan hayunan ketika mengharungi keadaan yang sukar, beberapa hari selepas ini, saya mungkin mampu melakukan beberapa pukulan baik.”

Dengan hujan dan keadaan berangin dijangka berlaku pada esok dan Sabtu, pemain nombor satu dunia, Jason Day juga perlu melakukan kerja keras selepas menamatkan pusingan pertama dengan dua atas par 73.

Pemain kelahiran Australia itu melakukan birdie pada lubang ketiga dan keenam namun turut melakukan empat bogey termasuk di Postage Stamp dan lubang terakhir. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA