Nasib pejuang IS masih ‘misteri’

Nasib pejuang IS masih ‘misteri’

SYDNEY, 28 Jun (AFP) – Canberra hari ini cuba mengesahkan sama ada seorang pejuang kumpuan Negara Islam (IS) warga Australia, yang diketahui ramai setelah digambar sambil memegang kepala yang telah dipancung, telah terselamat dari serangan dron selepas satu laporan mengatakan dia masih hidup.

Media Australia pada minggu lalu melaporkan dua orang pejuang jihad IS yang paling dikehendaki di negara itu, Khaled Sharrouf dan Mohamed Elomar, dipercayai terbunuh dalam serangan dron di Syria.

Tetapi gambar-gambar serangan Predator yang begitu sulit hanya mengesahkan kematian Elomar, tanpa petunjuk Sharrouf juga terkorban, lapor Sunday Telegraph.

“Dia mempunyai sembilan nyawa,” sumber tidak bernama memberitahu akhbar itu. “Ia adalah kejadian yang berlaku sekelip mata.”

Perdana Menteri Tony Abbott sebelum ini mengatakan kerajaan “begitu yakin” Elomar telah terbunuh dalam serangan udara bersekutu tetapi tidak dapat menyatakan yang sama mengenai Sharrouf.

Gambar fail menunjukkan Khaled Sharrouf (kiri) dan Mohamed Elomar. – AFP
Gambar fail menunjukkan Khaled Sharrouf (kiri) dan Mohamed Elomar. – AFP

Telegraph melaporkan gambar-gambar yang dikelaskan itu menunjukkan Elomar berdiri bersebelahan sebuah kenderaan yang merupakan sebahagian konvoi pejuang IS di Syria.

Satu lagi gambar diambil beberapa detik kemudian menunjukkan letupan ketika konvoi itu terkena peluru berpandu, dengan gambar ketiga menunjukkan serpihan akibat dari serangan itu.

“Agensi keselamatan dan perisikan kami berusaha mengesahkan laporan-laporan yang mengatakan Khaled Sharrouf terselamat dari serangan bersekutu itu yang dipercayai telah membunuh Mohamed Elomar,” Menteri Hal Ehwal Luar Julie Bishop berkata hari ini.

Sharrouf menjadi terkenal di seluruh dunia apabila dia menghantar gambar-gambar ke akaunnya di Twitter yang memperlihatkan dirinya sendiri dan anak lelakinya yang dibesarkan di Sydney yang pada masa itu berusia tujuh tahun memegang kepala tentera-tentera Syria yang dibunuh.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, nenek budak lelaki itu, Karen Nettleton, merayu supaya budak lelaki itu dan empat orang adik beradiknya, dibawa pulang ke Australia.

ARTIKEL YANG SAMA