Nasib Rouseff belum diketahui

Nasib Rouseff belum diketahui

BRASILIA, 30 Ogos – Presiden Brazil Dilma Rousseff yang digantung dari jawatannya hari ini berdepan dengan pertimbangan dalam pengundian Senat yang dijangka akan menyingkirkannya daripada jawatannya, meskipun dakwaan dramatiknya yang menyatakan beliau menjadi mangsa kepada rampasan kuasa.

Presiden wanita pertama negara itu bersemuka dengan penuduh-penuduhnya dalam sesi yang lama, dengan menyatakan kepada Senat bahawa dirinya tidak bersalah dan memberi amaran bahawa demokrasi Brazil dalam keadaan bahaya.

Beliau dituduh secara haram mengambil pinjaman kerajaan untuk menutupi kekurangan belanjawan pada tahun 2014 dan menutupi masalah negara yang ketika negara itu berdepan dengan kemelesetan paling teruk selama berdekad-dekad.

Senat dijangka mendengarkan hujahan penutup dari peguam-peguam kedua belah pihak hari ini sebelum mengadakan perdebatan akhir sebelum pengundian – dengan sesi mungkin berlanjutan hingga esok.

Dua pertiga atau 54 dari 81 senator mesti mengundi memihak pendakwaan untuk melucutkan Rousseff dari jawatan presiden.

Dalam mengenangkan bagaimana beliau diseksa di bawah kepimpinan diktator tentera Brazil dalam tahun 1970an, pemimpin berhaluan kiri ini menggesa para senator ketika testimoninya supaya ‘mengundi menentang pendakwaan’, mengundi bagi demokrasi . Jangan terima rampasan kuasa.”

Bagaimanapun momentum untuk menyingkirkannya dari jawatannya nampaknya tidak dapat dihentikan, dicetuskan oleh kemarahan terhadap kemelesetan teruk Brazil, kelumpuhan politik selama berbulan-bulan lamanya dan skandal rasuah yang semakin berleluasa menumpu pada syarikat minyak kerajaan, Petrobras.

Folha, salah sebuah surat khabar utama Brazil, telah menyiarkan kiraan niat pengundian senator-senator dan 52 telah mengisytiharkan diri mereka sendiri pro-pendakwaan lewat semalam, dengan 11 orang teragak-agak.

Rousseff akan diganti oleh naib presidennya, Michel Temer yang menjadi musuh ketatnya.

Menurutnya dia memerhati proses itu dengan penuh tenang.

Jika Rousseff disingkirkan, dia akan merancang untuk pergi ke China bagi menghadiri sidang mesyuarat G20 sebaik sahaja dia mengangkat sumpah. – AFP