Nasib Rouseff masih diperdebatkan

Nasib Rouseff masih diperdebatkan

BRASILIA, 31 Ogos – Senat Brazil akan mengundi hari ini berhubung perlucutan Dilma Rousseff dari jawatan presiden dalam perbicaraan pendakwaan yang mengejutkan yang dijangka menamatkan kepimpinan berhaluan kiri ke atas negara terbesar Amerika Latin itu.

Para senator yang setia kepada presiden wanita pertama Brazil berdebat hingga ke malam semalam dalam cubaan terakhir untuk menghentikan momentum yang tidak dapat dihalang ke arah penyingkiran beliau.

Di sebalik ucapan penuh perasaan, yang menyusuli testimoni 14 jam oleh Rousseff sendiri yang berusia 68 tahun itu, pada Isnin lalu, nasibnya jelas ditentukan.

Rousseff dari parti pekerja berhaluan kiri, dituduh secara haram mengambil pinjaman kerajaan untuk menutupi kekurangan belanjawan pada tahun 2014, menutupi masalah kerajaan ketika ia berdepan kemelesetan teruk dalam tempoh berdekad-dekad.

Beliau memberitahu Senat bahawa beliau tidak bersalah, dengan mengatakan perbicaraan pendakwaan menyamai rampasan kuasa sayap kanan.

Bagaimanapun tunjuk perasaan besar di jalan raya pada tahun lalu telah memperlihatkan kemarahan seluruh negara terhadap pengurusannya ke atas negara yang mengalami pengangguran dan inflasi dua angka.

Dua pertiga Senat – 54 dari 81 orang senator mesti mengundi memihak pendakwaan untuk menyabitkan kesalahan ke atas beliau.

“Peluang pendakwaan tidak diluluskan dan presiden diarah letak jawatan adalah tipis,” kata penganalisis politik Adriano Codato dari Universiti Parana. – AFP