Nasib si mulut celupar

Nasib si mulut celupar

STOKE-ON-TRENT, England, 9 Nov (AFP) – Jose Mourinho menghadapi tempoh rehat antarabangsa dengan masa depan yang tidak menentu selaku pengurus Chelsea gara-gara kekalahan 0-1 anak buahnya di tangan Stoke City.

Pengurus kelahiran Portugal yang terkenal dengan mulut celuparnya itu tidak hadir ke Stadium Britannia semalam apabila beliau menjalani hukuman penggantungan stadium untuk satu perlawanan gara-gara perbalahan dengan pegawai perlawanan ketika kekalahan di tangan West Ham United, baru-baru ini.

Beliau sekadar menyaksikan pemainnya cuba menyamakan kedudukan menerusi televisyen hotel dan berikutan kekalahan itu, Mourinho sedar pelbagai spekulasi serta analisis kini menantinya.

Kekalahan itu adalah yang pertama dalam tempoh 16 tahun menyaksikan Chelsea tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi liga dan pemilik kelab, Roman Abramovich biasanya tidak pernah menunggu lama untuk memecat seseorang.

Jose Mourinho. – Agensi
Jose Mourinho. – Agensi

Tiga jurulatih yang memikul tanggungjawab sepanjang ketiadaan Mourinho – Steve Holland, Silvino Louro dan Rui Faria – enggan bercakap kepada media selepas perlawanan yang menyaksikan juara bertahan itu tergelincir ke tangga ke-16 liga selepas tewas tujuh kali dalam 12 perlawanan.

Begitu pun, penjaga gol Asmir Begovic tegas menyatakan semua pemain teguh berdiri di belakang pengurus berusia 52 tahun itu, begitu juga dengan penyokong yang melaungkan nama beliau sepanjang perlawanan.

“Keputusan ini bukan kehendak kami. Kami tetap menyokong pengurus. Anda boleh lihat buktinya menerusi persembahan kami,” kata Begovic ketika ditanya mengenai masa depan pengurusnya.

“Kami rasa beliau adalah individu paling tepat untuk mengendalikan pasukan ini dan kami berusaha keras untuk beliau.

ARTIKEL YANG SAMA