Nasib siswazah masih tergantung

Nasib siswazah masih tergantung

SERING kita membaca dalam akhbar harian mengenai betapa aktifnya Agensi Pengambilan Tenaga Kerja (APTK) berusaha mengenal pasti belia remaja yang masih belum mempunyai mata pencarian untuk disalurkan sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun kerjaya di bidang swasta.

Namun begitu, kadar pengangguran di negara kita masih dalam bilangan yang kritikal dan setakat ini, belum ada penawar bagi menyelesaikan masalah ini.

Ditambah lagi dengan berterusannya penerima sijil, diploma dan ijazah sarjana muda yang dihasilkan setiap tahun dalam anggaran ribuan orang, sebilangan besar mereka mengaku untuk memperoleh jawatan kosong amatlah sulit dan sukar.

Kadangkala apabila mereka menjalani temu duga untuk tawaran pekerjaan, mereka menerima jawapan yang mereka lebih layak untuk menerima jawatan yang sebenarnya belum ada ditawarkan atau tiada wujud sama sekali.

Dalam erti kata lain, mereka diistilahkan sebagai ‘overqualified’ walaupun mereka sebenarnya tidak memilih kerja. Dan yang lebih perit lagi, apabila selepas sesi temu duga, kedengaran pada mereka panel penemu duga tersebut seolah-olah menempelak atau merendah-rendahkan pengiktirafan kelulusan yang diperoleh.

Hairan, seharusnya mereka tahu jika Allah S.W.T Maha Menghendaki, anak atau cucu mereka mungkin akan menghadapi nasib yang sama di masa depan yang belum pasti dengan ekonomi yang tidak tentu dan mindset sesetengah kita yang lebih mendewa-dewakan kemajuan negara luar di banding dengan tanah tumpah darah mereka sendiri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah bertitah yang kita harus berani mencari mata pencarian alternatif dalam zaman pancaroba ekonomi yang berlaku sekarang, sama ada untuk bekerja di bidang swasta, menjadi pengusaha dan berdikari ataupun mengambil risiko dan langkah berani untuk bertugas di luar negara. Semuanya sudah pernah dan sedang dilakukan oleh sebilangan kita, ada yang mengecap kejayaan gemilang dan terbilang, ada yang cukup-cukup, dan tidak kurang pula yang menemui kegagalan.

Dengan mindset majikan yang lebih gemar ke arah mengambil pekerja luar yang lebih murah gajinya, isu ini dijangka terus berlarutan dan memeningkan kepala kita. Strategi ‘lateral transfer‘ pemimpin jabatan harus dipertimbangkan semula bagi memberi pengiktirafan yang selayaknya kepada pegawai kanan untuk melangkah ke atas dan begitu juga pegawai dan kakitangan dibawahnya menapak naik dalam hiraki jabatan.

Kita seharusnya mulai sekarang mencari penyelesaian ke arah pengurangan masalah ini dengan menggunakan saluran rasmi dan bukannya untuk berdepan dengan tembok kebal yang sering menghalang kita dan menolak kita ke belakang. Renungkanlah. – Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA