Nasib tertuduh gugur janin diketahui 24 Sept ini

Nasib tertuduh gugur janin diketahui 24 Sept ini

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160921_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menetapkan 24 September untuk sebutan hukuman seorang perempuan tempatan yang mengaku bersalah kerana menggugurkan kandungannya yang berusia enam bulan.

Nuramallinie @ Amal binti Suhaile, 22, didakwa menggugurkan kandungannya dengan mengambil pil yang merangsang kontraksi pada rahim sehingga janin itu keluar.

Dia bertindak untuk menggugurkan anak damitnya kerana takut keluarganya akan mengetahui yang dia mengandung anak luar nikah.

Tertuduh sebelum ini pernah mengambil pil yang sama untuk menggugurkan kandungannya kali kedua pada awal tahun 2015.

“Mengapa kamu tidak berkahwin sahaja,” tanya Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain sebaik mengetahui perbuatan tertuduh yang telah menggugurkan kandungannya buat kali ketiga.

Tertuduh hanya menjawab bahawa bekas tunangnya tidak menghiraukannya lagi.

Fakta kes menyebut, pada malam 31 Ogos, tertuduh telah membeli pil untuk tujuan menggugurkan anak yang dikandungkannya.

Ketika berada di tempat kerja keesokan harinya, tertuduh yang merupakan seorang jurujual di Kompleks Yayasan merasa kesakitan pada perutnya dan kerap pergi ke tandas.

Sekitar jam 7 malam, tertuduh melahirkan anak damit lelaki.

Rakan tertuduh yang menyedari tertuduh berada lama di tandas pergi untuk memeriksa keadaannya, dan terkejut apabila tertuduh menunjukkan anak damit itu.

Tertuduh kemudian menghubungi bekas tunangnya yang juga ayah kepada anak damit tersebut, untuk memaklumkan mengenai kelahiran itu.

Tertuduh turut meminta bantuan bekas tunangnya untuk membawanya dan juga anaknya ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Ketika di hospital, tertuduh diberitahu oleh doktor yang bertugas bahawa anaknya telah pun meninggal dunia.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman turut mengemukakan laporan daripada pakar patologi yang mengatakan janin itu berusia antara 24 hingga 26 minggu, dan kelahirannya adalah akibat pengguguran.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 312 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya membantah untuk tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin atas sebab pengakuan bersalah tertuduh sudah direkodkan namun Hakim membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA