Nasihat kesihatan mengenai kolera

Nasihat kesihatan mengenai kolera

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Susulan laporan beberapa kes penyakit kolera di negara jiran bulan ini, Kementerian Kesihatan telah mengadakan pemantauan berterusan dan mengesahkan bahawa setakat ini tidak ada kes penyakit itu dilaporkan di Brunei.

Bagaimanapun sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga bagi menghindari daripada jangkitan penyakit kolera, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kebersihan diri, makanan dan persekitaran yang baik.

Kolera adalah penyakit jangkitan usus yang disebabkan oleh kuman ‘vibrio cholera’ yang merebak melalui makanan dan air yang tercemar. Tanda utama penyakit ini ialah cirit-birit.

Tanda-tanda lain yang mungkin dihidapi termasuk muntah dan sakit perut. Jangkitan kolera yang teruk boleh menyebabkan kekurangan air di dalam badan dan kematian, jika tidak dirawat.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya turut menyarankan orang ramai untuk hanya mengunjungi premis menjual makanan ataupun restoran yang mempunyai persekitaran yang bersih; elakkan memakan salad ataupun ulam-ulaman yang diragui kebersihannya dan minum air yang dimasak ataupun air botol (mineral) yang mempunyai ‘intact seal.’

Orang ramai juga perlu memastikan makanan dimasak dengan sempurna; sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air yang bersih selepas menggunakan tandas dan sebelum makan atau menyediakan makanan.

ARTIKEL YANG SAMA