Nasihat polis di musim Raya

Nasihat polis di musim Raya

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bermula esok, Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku semasa musim Hari Raya ini.

Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila meninggalkan rumah untuk keluar berhari raya dengan memastikan pagar, pintu dan jendela rumah sentiasa ditutup dan dikunci dengan kunci yang kukuh, serta jangan membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah.

Segala wang, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan tidak mudah diketahui.

Lampu di luar rumah seboleh-boleh-nya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutama sekali di tempat-tempat yang senang dilihat.

Bagi mereka yang hendak meninggalkan rumah dalam jangka masa yang panjang dinasihatkan supaya memastikan rumah dalam keadaan selamat dan maklumkan kepada jiran-jiran terdekat untuk membantu memantau keadaan rumah, serta maklumkan kepada ketua kampung serta balai dan pos-pos polis berdekatan.

Balai-balai atau pos polis berdekatan hendaklah dimaklumkan tentang tarikh pemergian bagi tujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah tersebut ditinggalkan.

Penghulu, ketua kampung dan Pengawasan Kejiranan di setiap kampung berkenaan hendaklah dimaklumkan bagi sama-sama mematai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni. Mereka yang berhasrat hendak keluar negara juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada keluarga terdekat atau jiran yang berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.

Para ibu bapa pula dinasihatkan agar memantau serta memastikan anak-anak mereka sentiasa dalam pengawasan semasa keluar berhari raya, jangan membiarkan anak-anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau lepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

Aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari Internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan bahawa ketika meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika supaya akan memastikan enjin dimatikan dan dikunci bagi mengelakkan kereta dicuri.

Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika memandu, terutamanya ketika hujan lebat, dan memandulah dengan mengikut peraturan lalu lintas dan sentiasa bersabar.

Dengan peraturan baru yang telah diumumkan baru-baru ini, termasuk dalam penggal 58 Senjata Api dan Bahan Letupan, Seksyen 15 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya, Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan mengenai tegahan berhubung dengan mercun dan bunga api.

Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didakwa yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 15 tahun, tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih 12 sebatan serta boleh dikenakan denda sebanyak $3,000.

Pasukan Polis Diraja Brunei turut menggesa orang ramai supaya melaporkan dengan segera dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Maklumat yang diberikan akan membantu pihak Polis dalam menangani jenayah yang mungkin akan berlaku terhadap keluarga, jiran dan orang lain.

ARTIKEL YANG SAMA