NATO pelawa Montenegro sertai perikatan

NATO pelawa Montenegro sertai perikatan

BRUSSELS, 2 Dis (AFP) – Menteri-menteri luar negeri NATO hari ini menawarkan Montenegro untuk menyertai perikatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat (AS), satu langkah yang Rusia sering kali beri amaran akan menjadi satu provokasi dan ancaman ke atas kestabilan di Balkan barat.

“Menteri-menteri luar negeri NATO baru saja mengambil keputusan bersejarah untuk memulakan rundingan pertambahan bagi Montenegro untuk menjadi anggota ke-29,” kata ketua perikatan, Jens Stoltenberg.

“Ini adalah hari yang baik buat Montenegro, bagi Balkan barat dan keseluruhan perikatan,” kata Stoltenberg dengan pujian daripada mesyuarat menteri-menteri luar negeri 28 NATO dalam sesi terbuka untuk meluluskan keputusan itu.

“Ia adalah jelas NATO mengekalkan pintunya terbuka dan (memperkukuh)….visi kami bagi keseluruhan Eropah dan bagi kedamaian.”

Menteri Luar Negeri Montenegro, Igor Luksic mengatakan keputusan NATO mencerminkan usaha besar negaranya yang telah lakukan untuk memodenkan dan memenuhi norma-norma masyarakat awam barat.

Setiausaha Negara AS, John Kerry (kiri) dan Jens Stoltenberg (tengah) menghadiri sesi menteri-menteri Hal Ehwal Luar Negeri bersama Montenegro pada hari kedua mesyuarat menteri-menteri NATO di ibu pejabat NATO di Brussels pada 2 Disember. – AFP
Setiausaha Negara AS, John Kerry (kiri) dan Jens Stoltenberg (tengah) menghadiri sesi menteri-menteri Hal Ehwal Luar Negeri bersama Montenegro pada hari kedua mesyuarat menteri-menteri NATO di ibu pejabat NATO di Brussels pada 2 Disember. – AFP

“Hari ini kami membuka babak baru….ia adalah hari yang terhebat buat negara saya dan bagi perikatan,” kata Luksic.

“Ia adalah berita baik buat Balkan barat, bagi perpaduan dan keselamatannya,” katanya.

Rusia minggu lepas menggambarkan keputusan ke atas Montenegro itu sebagai satu ‘pukulan serius daripada blok euro-Atlantik’.

“Inisiatif seumpamanya mempunyai potensi sebenar untuk membawa konfrontasi. Ia tidak akan mempromosi keamanan dan kestabilan di Balkan mahupun di Eropah amnya,” kata Moscow.

“Ia hanya akan melanjutkan lagi hubungan rumit antara Rusia dan NATO.”