NATO tolak hantar tentera perangi IS

NATO tolak hantar tentera perangi IS

ZURICH, 7 Dis – NATO menolak menghantar pasukan tentera darat untuk memerangi militan-militan kumpulan Islam, IS di Syria, Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg memberitahu akhbar Swiss, dengan menekankan perlunya mengukuhkan pasukan tentera tempatan dalam konflik itu.

“Itu tidak ada dalam agenda pasukan sekutu dan sekutu-sekutu NATO,” dia memberitahu akhbar Tages-Anzeiger apabila ditanya tentang penghantaran pasukan daratan untuk mengiringi serangan udara.

“AS mempunyai bilangan terbatas pasukan khas. Bagaimanapun tumpuan ialah mengukuhkan pasukan tempatan. ini tidak mudah, tetapi itu adalah satu-satunya pilihan,” tambahnya.

Stoltenberg menekankan bahawa konflik bukanlah peperangan antara Barat dan dunia Islam, tetapi adalah memerangi ‘fahaman pelampau dan keganasan.’

“Kumpulan Islam yang di barisan hadapan peperangan ini. Kebanyakan mangsa adalah orang Islam dan kebanyakan mereka yang memerangi IS adalah orang Islam. Kita tidak boleh meneruskan perjuangan ini bagi mereka,” katanya.

Stoltenberg menegaskan bahawa NATO akan membantu Turki meningkatkan pertahanan udara selepas Turki menembak jatuh sebuah jet tentera Rusia bulan lalu. Pakatan itu akan membentuk beberapa langkah bagi Turki sebelum Krismas, tambahnya.

Dia menekankan perlunya menenangkan pertikaian dengan Rusia selepas pesawat udara ditembak jatuh. “Kini adalah perlu untuk meredakan dan untuk membentuk mekanisme untuk menghalang kejadian serupa pada masa akan datang.

“Kami melihat pertambahan ketara kehadiran ketenteraan Rusia dari utara jauh ke Mediterranean. Di sana juga kami perlu mengelak kejadian serupa seperti yang berlaku di Turki,” katanya.

Dia menggesa Rusia ‘memainkan lebih banyak peranan membina dalam memerangi IS. “Setakat ini, Rusia telah menyerang kumpulan lain dan menumpu pada penyokong rejim Assad.” – Reuters