Nauru: Penghijrah tidak akan ditahan

Nauru: Penghijrah tidak akan ditahan

SYDNEY, 5 Okt (AFP) – Nauru mengumumkan hari ini bahawa pencari suaka di kem imigresen Australia di pulau Pasifik tidak akan dikurung lagi, berkata mereka sebaliknya akan bebas berjalan di sekitar negara kecil itu.

Kerajaan Nauru berkata Pusat Pemprosesan Serantau (RPC) telah diubah kepada “pusat terbuka”, memberikan penghuninya kebebasan pergerakan.

Ia juga berjanji akan memproses kesemua tuntutan pelarian yang belum selesai untuk mereka yang tinggal di pusat, kira-kira 600 di antara mereka, dalam tempoh seminggu.

“Bermulanya pemprosesan penahanan bebas merupakan hari bersejarah untuk Nauru dan melambangkan program yang lebih bersifat belas kasihan, yang sentiasa menjadi hasrat kerajaan kami,” kata Menteri Keadilan David Adeang.

RPC Nauru ditubuhkan sebagai sebahagian daripada dasar pencari suaka Canberra di mana mereka yang tiba dengan bot penyeludupan orang tidak ditahan di wilayah Australia.

Satu lagi kem terletak di Manus Island di Papua New Guinea.

Adeang berkata Australia sedang membantu peralihan kepada pusat terbuka, termasuk menyediakan lebih banyak sokongan polis dan penjagaan kesihatan yang sesuai untuk pencari suaka.

Di bawah rancangan itu, jumlah pegawai perhubungan komuniti akan ditambah daripada 135 kepada 320 untuk membantu pencari suaka, yang datang dari negara termasuk Iran dan Sri Lanka, menetap di negara yang mempunyai 10,000 orang.

Kerajaan Australia mengalu-alukan pengumuman Nauru, berkata lebih banyak pengaturan terbuka telahpun dilaksanakan di kem sejak Februari, membenarkan beberapa tahanan meninggalkan pusat tanpa diiringi ketika waktu yang dipersetujui pada hari tertentu.

ARTIKEL YANG SAMA