Nawalka: Ukraine lebih bahaya daripada Jerman

Nawalka: Ukraine lebih bahaya daripada Jerman

UEFA-Euro-2016-Logo

MARSEILLE, 22 Jun (AFP) – Jurulatih Poland Adam Nawalka memuji usaha gigih anak buahnya yang layak melangkah ke fasa 16 pasukan terakhir Euro 2016 selepas membenam Ukraine 1-0 awal pagi tadi.

“Buat pertama kali dalam sejarah Poland kami layak melepasi peringkat kumpulan Euro, pertama kali dalam tiga percubaan,” kata Nawalka.

Dengan dua kemenangan 1-0 dalam Kumpulan C ke atas Ireland Utara dan Ukraine, serta seri tanpa jaringan menentang Jerman, Poland menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua yang dibezakan menerusi jaringan dengan pendahulu, Jerman.

“Ia sesuatu yang mengagumkan apabila kami mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan dalam kumpulan sukar, kami tidak dibolosi dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

“Tetapi berdasarkan kedudukan, hanya perbezaan gol tidak menyebelahi kami dan perlawanan hari ini cukup sukar, mungkin lebih sukar berbanding bertemu Jerman,” katanya.

Dengan Ukraine kendalian Mykhailo Fomenko bermain untuk maruah selepas peluang mara sudah tertutup, Poland berdepan situasi sukar dengan lawannya itu menguasai sebahagian permainan tetapi gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Sepanjang babak pertama, Ukraine lebih ghairah melakukan serangan tetapi tidak mampu diterjemahkan kepada jaringan.

Poland sebaliknya memecah kebuntuan pada minit ke-54 menerusi pemain gantian, Jakub Blaszczykowski yang baru sembilan minit beraksi.

“Anda tidak boleh memandang rendah keupayaan Ukraine, mereka mempunyai beberapa pemain yang baik di dalam pasukan.

“Kami terpaksa bertahan habis-habisan dan tidak mempunyai peluang menguasai permainan seperti yang kami harapkan,” kata Nawalka.

ARTIKEL YANG SAMA