NCP tumpuan Sambutan Hari Sarawak

NCP tumpuan Sambutan Hari Sarawak

KUCHING, 20 Julai – Sambutan Hari Sarawak 2016, Jumaat ini akan memberi tumpuan kepada ‘Nine Cardinal Principles’ (NCP), perlembagaan yang dirangka oleh Rajah ketiga Charles Vyner Brooke, yang gagal dilaksanakan akibat serangan Jepun.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata perlembagaan tersebut, yang merupakan perjanjian dan ‘guarantee’ diberi oleh Vyner Brooke, mempunyai sembilan prinsip utama antaranya menyebut tentang usaha menyerahkan kuasa kuasa pentadbiran kepada anak Sarawak pada 1941.

“Perlembagaan ini digubal pada September 1941, tetapi kita (Sarawak) diserang oleh Jepun pada Disember 1941, maknanya tidak dapat dilaksanakan kerana telah diambil alih oleh Jepun.

“Apabila Jepun menyerah kalah, maka, Vyner Brooke datang nak serah balik kuasa kepada anak Sarawak tetapi ketika itu negeri ini tidak mempunyai dana untuk membangun semula selepas perang, oleh sebab kekangan ini maka kita diambil alih oleh British yang akan membantu mentadbir Sarawak kerana kekurangan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menyaksikan raptai terakhir sambutan di Tebingan Sungai Kuching hari ini.

Abang Johari berkata pada sambutan itu nanti, tumpuan akan turut diberi kepada peristiwa penting pada tahun 1963, tahun pembentukan Malaysia termasuk hak-hak istimewa Sarawak yang dipersetujui.

“Kita nak pamerkan perjanjian tersebut, hak-hak Sarawak yang kita harus pertahankan dalam negara Malaysia. Kita nak rakyat tahu Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan kami dalam kerajaan akan mempertahankan hak orang Sarawak dalam perlembagaan Malaysia,” katanya.

Sambutan Hari Sarawak 2016 pada Jumaat ini di Tebingan Sungai Kuching akan memaparkan lakonan semula sejarah Sarawak, bermula dari zaman pemerintahan Kesultanan Brunei dari tahun 1599 hingga 1842, pentadbiran Rajah Brooke dari 1842 hingga 1941.

Turut dilakonkan Sarawak ketika diperintah Jepun dari 1941 hingga 1945 serta di bawah penjajahan kolonial British dari 1946 hingga 22 Julai 1963. – Bernama