NDMC bekal jaket keselamatan

NDMC bekal jaket keselamatan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Nov – Murid-murid dan guru Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang, Ulu Belait hari ini, menerima jaket keselamatan bagi kegunaan mereka semasa menaiki perahu untuk menuju ke sekolah pada musim banjir.

Sebanyak 12 jaket keselamatan berkenaan, yang dibekalkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) melalui Pusat Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait, telah diserahkan oleh tiga orang anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Liang yang dalam operasi membuat pemantauan banjir di mukim tersebut dengan diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Muhammad Ali bin Hassan.

Jaket keselamatan tersebut telah diserahkan kepada wakil guru besar sekolah berkenaan Pegawai Pelajaran dan Guru Kanan Pentadbiran, Awang Muhd Abdul Nasir bin Haji Yussof.

Pegawai Balai Muhammad Ali ketika menyerahkan jaket keselamatan bagi keperluan murid-murid dan guru-guru semasa banjir.
Pegawai Balai Muhammad Ali ketika menyerahkan jaket keselamatan bagi keperluan murid-murid dan guru-guru semasa banjir.
Pegawai Balai Muhammad Ali menyerahkan minyak enjin motor dan minyak pelincir bagi keperluan perahu kepada Haji Mohd Noh.
Pegawai Balai Muhammad Ali menyerahkan minyak enjin motor dan minyak pelincir bagi keperluan perahu kepada Haji Mohd Noh.

Sebelum itu, anggota bomba dan penyelamat berkenaan juga telah menyerahkan minyak enjin motor sangkut jenis regular sebanyak 100 liter dan minyak pelincir jenis TCW-3 sebanyak tiga botol (4 liter) kepada Pemangku Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohd Noh bin Datu Maharaja Setia Dian, bagi kegunaan perahu yang disediakan oleh NDMC yang ditambat di jeti rumah panjang Mukim Sukang sebagai pengangkutan murid-murid dan guru ke sekolah.

Sehubungan itu, warga sekolah dan penghulu mukim berkenaan merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada pihak Pusat Pengurusan Bencana Daerah Belait atas keprihatinan dan pemedulian serta tindakan segera ke atas perkara kebajikan masyarakat di kawasan pedalaman.

Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada Balai Bomba Sungai Liang yang telah bertungkus lumus membuat pemantauan secara berterusan di kawasan yang pada masa ini terjejas akibat banjir kilat terutama di kawasan jalan-jalan raya sehingga ada yang tidak dapat dilalui menggunakan kenderaan biasa.

ARTIKEL YANG SAMA