NDP tinjau perusahaan padi

NDP tinjau perusahaan padi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT – Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah mengadakan tinjauan ke kawasan ladang perusahaan padi Lot Sengkuang Padi yang merupakan sawah padi terbesar di Daerah Belait dan pada masa ini diusahakan oleh sekitar lebih 70 orang peladang tempatan.

Lawatan rombongan yang diketuai oleh Presiden NDP, Malai Hassan bin Malai Haji Othman, disertai sama oleh timbalan presiden pertubuhan politik itu, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Talib, serta beberapa orang ahli majlis tertinggi serta anggota JASA NDP.

Semasa lawatan, rombongan sempat menemui ketua yang dilantik bagi Pengusaha Padi Lot Sengkuang Labi, Haji Mohd Sofian bin Mohd Yassin, yang telah bergiat dalam mengusahakan tanaman padi di kawasan tanah yang diwartakan kerajaan di bawah Jabatan Pertanian itu, selama hampir lima dekad bermula sekitar akhir tahun 60-an.

Haji Mohd Sofian, 69, memberitahu beliau mengusahakan ladang padi di sana, bersama isterinya dengan dibantu oleh seramai tujuh orang pekerja sejak beberapa tahun kebelakangan ekoran usia kedua suami isteri sudah semakin meningkat.

Kawasan Padi Lot Sengkuang Labi, seluas 300 hektar itu, pernah diusahakan oleh seramai hampir 200 orang peladang tempatan, termasuk kalangan penduduk mukim berkenaan, bagaimanapun jumlah tersebut semakin berkurangan sehingga kini hanya diusahakan oleh kurang 80 orang sahaja.

Rombongan ahli NDP semasa membuat lawatan ke Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Lot Sengkuang Rempayoh Labi, baru-baru ini.
Rombongan ahli NDP semasa membuat lawatan ke Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Lot Sengkuang Rempayoh Labi, baru-baru ini.

“Ramai pengusaha padi di sini, sudah meninggalkan tanah yang diusahakan sebelum ini, kerana berhadapan dengan masalah tiada sistem pengairan di ladang ini, dan sudah berlarutan sejak awal Lot Sengkuang dimajukan oleh orang kampung kemudian diwartakan oleh kerajaan di bawah Jabatan Pertanian,” katanya.

Para pengusaha padi di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) itu baru-baru ini, mendakwa tahun ini mereka mengalami kerugian besar dalam penghasilan padi yang ditanam pada tahun lepas, ekoran cuaca panas dan kering, selain masalah berterusan di sana ialah tiada mempunyai pembinaan sistem pengairan, sebaliknya para petani selama ini hanya bergantung kepada bekalan air yang mengalir dari sungai tetapi sungai berkenaan juga sudah dipintaskan daripada terus mengalir ke kawasan ladang mereka.

Pada lawatan itu, rombongan turut berkesempatan untuk menyaksikan proses penjemuran padi oleh salah seorang pengusaha padi di sana, sebelum ia diserahkan untuk dijual kepada Jabatan Pertanian.

ARTIKEL YANG SAMA