Negara perlu berdaya saing hadapi zaman sains dan teknologi

Negara perlu berdaya saing hadapi zaman sains dan teknologi

SANDAKAN, 16 Jun (Bernama) – Negara perlu terus berdaya saing dan mempunyai pembangunan sumber manusia yang berjaya pada zaman sains dan teknologi ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah justeru, pelbagai aspek pembangunan perlulah dicapai secara seimbang dan menyeluruh.

“Ia meliputi ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan penekanan terhadap aspek sosial dan kerohanian masyarakat,” titah baginda pada Program Titian Kasih Mega di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens di sini, hari ini.

Baginda mengetuai misi ‘Program Jalinan Kasih’ kerajaan Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di daerah ini sejak Isnin lepas hingga hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah ekoran itu pelbagai usaha pembangunan modal insan melalui program pendidikan berkualiti dan holistik di peringkat negeri mahupun kebangsaan dilaksanakan bagi memperlengkapkan warga Malaysia menghadapi dunia global.

“Jadi, kita memerlukan barisan modal insan yang mampu menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, berkemahiran dan sentiasa bermaklumat. Maka sekolahlah acuan terawal pembentuk modal insan ini,” tambah baginda.

Baginda bertitah pelbagai langkah diperlukan bagi memastikan pembelajaran di sekolah melahirkan modal insan terbaik.

Tuanku Syed Faizuddin menggesa supaya penekanan dibuat terhadap aspek nilai, disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri bagi mewujudkan masyarakat kreatif dan inovatif serta berfikiran kelas pertama.

Pada majlis itu, baginda berkenan merasmikan Galeri Putra yang mempamerkan coretan hayat sejak pembukaan MRSM ini.

MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens ini dibuka pada Januari 2013 dan mempunyai 811 pelajar.