Negara senjata nuklear perlu akur Perjanjian SEANWFZ

Negara senjata nuklear perlu akur Perjanjian SEANWFZ

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) – Negara-negara senjata nuklear harus menyetujui protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang penangguhan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diberitahu.

Wakil Tetap Malaysia di PBB, Datuk Ramlan Ibrahim dalam membuat gesaan itu pada perbahasan awam Persidangan Kajian Semula 2015 mengenai Pengawalan Senjata Nuklear di New York, semalam berkata Malaysia percaya dalam mengukuhkan zon bebas senjata nuklear sedia ada dan penubuhan zon bebas senjata nuklear yang baharu, merupakan langkah positif ke arah mencapai objektif pelucutan senjata nuklear global.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia harus terus menggesa Negara Senjata Nuklear (NWS) untuk berbuat demikian.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah mengemukakan memorandum mengenai aktiviti Perjanjian SEANWFZ, untuk pertimbangan persidangan itu.

“ASEAN berharap untuk merebut momentum minat yang berterusan NWS untuk menandatangani protokol,” katanya. Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama, di sini, hari ini.

Ramlan berkata Malaysia juga sentiasa bimbang mengenai bahaya pengembangan nuklear di Timur Tengah, memandangkan Zon Bebas Senjata Nuklear masih belum ditubuhkan di rantau berkenaan.

“Delegasi saya turut mengesa pelaksanaan zon bebas senjata nuklear di rantau berkenaan dengan segera.

“Dalam hal ini, Malaysia menggesa pelaksanaan Resolusi Timur Tengah 1995, dan menggesa Persidangan mengenai mewujudkan zon bebas senjata nuklear dan Senjata pemusnah besar-besaran di Timur Tengah diadakan secepat mungkin, “ katanya.

Beliau turut menegaskan keyakinan penuh Malaysia terhadap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional, tidak berat sebelah dan berkesan.

Beliau berkata Malaysia juga menegaskan keutamaan peranan agensi berkenaan dalam isu-isu berkaitan perlindungan dan pengesahan nuklear.

ARTIKEL YANG SAMA