Negara teluk isytihar perang terhadap IS

Negara teluk isytihar perang terhadap IS

BANDAR KUWAIT, 28 Jun (AFP) – Negara Teluk mengisytiharkan ‘perang’ besar-besaran terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menyebabkan 27 orang terkorban dalam serangan bom berani mati ke atas sebuah masjid Syiah di sini kelmarin.

Menteri Kesihatan Kuwait, Ali al-Obaidi berkata, jumlah kematian telah meningkat kepada 27 orang, manakala 227 yang lain cedera dalam serangan ke masjid Al-Imam Al-Sadeq itu.

Jumlah korban serangan yang berlaku ketika umat Islam mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan adalah yang terbesar dalam sejarah Kuwait.

Kementerian Dalam Negeri berkata, sejumlah suspek telah ditangkap dan sedang disoal siasat berhubung serangan yang mengemparkan penduduk di Negara Teluk yang kecil itu. Tiada maklumat bilangan suspek berkenaan.

Berikutan kejadian itu, Kabinet Kuwait yang mengadakan mesyuarat tergempar mengarahkan semua agensi keselamatan dan polis supaya berjaga-jaga sebagai langkah berhadapan dengan serangan pengganas.

“Kabinet turut menegaskan akan mengambil apa sahaja tindakan bagi membendung gejala tersebut dan mengumumkan satu konfrontasi berterusan terhadap kumpulan pengganas,” kata satu kenyataan selepas mesyuarat itu.

Mereka turut mengisytiharkan semalam sebagai hari berkabung.