Nekad lihat suami pulih

Nekad lihat suami pulih

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Nekad hati seorang isteri untuk melihat suaminya sembuh dan hidup seperti sedia kala menjadi bekalan semangat kepada Pengiran Sukmaria binti Pengiran Haji Hashim yang mendermakan satu buah pinggangnya kepada suami tercinta Haji Mohammad Haris bin Haji Duraman pada 13 Ogos lalu.

Pengiran Sukmaria, 45 tahun, kelihatan tenang dan ceria di samping suaminya pada sidang media Program Pembedahan Buah Pinggang Kali Ketiga di Negara Brunei Darussalam, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) hari ini.

Wajah gembira beliau itu mencerminkan kesyukuran, pengorbanan dan perasaan kasih yang mendalam seorang isteri terhadap suaminya.

“Takut adalah soal kedua kerana saya nekad untuk melihat beliau kembali pulih dan menjalani hidup yang lebih ceria. Prosedur ini adalah satu-satunya pilihan yang ada pada saya untuk membantu suami,” kata beliau kepada media ketika ditanya mengenai perasaannya sebelum menjalani prosedur pemindahan buah pinggang itu.

Menurut Pengiran Sukmaria, perasaan takut juga tidak begitu dirasakan kerana beliau mendapat sokongan padu ahli keluarga dan rakan-rakan, malah baginya kebahagiaan sesebuah keluarga adalah berasaskan kepada kesihatan setiap ahlinya.

Pengiran Sukmaria tenang di samping suaminya Haji Mohammad Haris pada sidang media di Hospital RIPAS kelmarin.
Pengiran Sukmaria tenang di samping suaminya Haji Mohammad Haris pada sidang media di Hospital RIPAS kelmarin.

“Kita perlu berusaha mendapatkan tahap kesihatan yang baik dan itu juga menjadikan saya lebih teguh hati untuk menjalankan prosedur ini,” jelas beliau.

Sementara itu, suasana di bilik sidang media berubah seketika apabila Haji Mohammad Haris tidak lagi dapat menahan sebak sehingga berlinang air mata sebelum menjawab soalan media mengenai pengalaman beliau menjalani pembedahan tersebut.

“Pertama sekali saya mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu Wataala dan berbanyak terima kasih kepada Kementerian Kesihatan serta Yang Berhormat Pehin Menteri Kesihatan atas suntikan semangat bagi menjalani pembedahan ini.”

Menurutnya, selepas pembedahan itu, pada hari pertama beliau masih merasa sedikit kesakitan dan perubahan mula ketara pada hari kedua dan keadaan semakin baik pada hari ketiga sebelum mula berjalan dan dibenarkan keluar selepas hari keempat.

“Dialisis adalah kerja yang sangat menyusahkan, bayangkan tiga kali seminggu selama empat jam pada setiap kali rawatan dan ia memakan belanja yang tinggi, meskipun ia dibiayai oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” ujarnya dengan nada sayu.

“Saya sangat berbesar hati dan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Baginda atas keprihatinan dan pengorbanan wang bagi memastikan tahap kesihatan rakyat dan penduduk di negara ini pada tahap yang terbaik.”

Menurut Haji Muhammad Haris, setiap kali selepas rawatan dialisis, badannya akan terasa lemah dan menerima pembedahan amat saya syukuri kerana diberikan peluang kedua untuk memulakan kehidupan baru tanpa melalui pengalaman itu lagi,” ujarnya.

Beliau menyeru kepada orang ramai untuk tidak ragu akan program pembedahan ini dan jangan dilambat-lambatkan kerana kesempatan dan peluang hidup hanya diberikan sekali sahaja.

“Sayang kalau kita abaikan kerana kerajaan telah menyediakan kemudahan yang terbaik dan yang ditakutkan ialah jika kita tidak berkesempatan untuk melakukan apa yang sewajarnya kita lakukan,” tambah beliau lagi.

Pengiran Sukmaria menambah lagi, “Kita perlu berusaha untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan sebagai penderma pula dan penerima kita perlu berdoa dan bertawakal memohon keselamatan dan kesihatan yang berterusan di samping berdisiplin untuk mendengar nasihat doktor dan mengikut saranan mereka.”