Nelayan, pelaut diingatkan patuhi undang-undang

Nelayan, pelaut diingatkan patuhi undang-undang

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Orang ramai khususnya nelayan, pelaut dan pengusaha bot penambang diingatkan sentiasa mematuhi Undang-undang dan Peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.

Antaranya ialah memastikan setiap pemilik kapal bot hendaklah didaftarkan dengan Jabatan Laut di samping mengikut garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan; mematuhi piawaian seperti keperluan menyediakan bilangan jaket keselamatan yang lebih jumlahnya dari bilangan penumpang serta menyediakan jaket keselamatan tambahan khusus bagi penumpang dewasa yang bersaiz besar dan kanak-kanak.

Jaket keselamatan hendaklah sentiasa dipakai yang boleh menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti bot karam oleh pemandu bot dan penumpang semasa pelayaran kerana pemakaian jaket keselamatan atau terbalik.

Peringatan ini dikeluarkan oleh agensi-agensi keselamatan maritim terdiri dari Pasukan Polis Diraja Brunei (Polis Marin), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan dan Biro Kawalan Narkotik, dalam satu kenyataan bersama mereka hari ini.

Kenyataan itu berkata, mengikut Pendaftaran Kapal Nelayan dan Pelesiran 2011, pemilik Kapal Ikan dan Bot Pelesiran yang gagal mematuhi Peraturan-peraturan Perkapalan Pedagang boleh didenda tidak melebihi $2,000 dan kompaun tidak melebihi $500.

Nelayan dan pengguna-pengguna bot juga di nasihatkan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan kepada bot mereka sebelum turun ke laut atau membuat aktiviti pelayaran bagi memastikan keselamatan bot yang akan digunakan untuk mengelakkan jika berlaku kebocoran, kerosakan pada peralatan dan sebagainya.

Dalam pada itu, orang ramai terutama para nelayan dan juga bot-bot kecil adalah dinasihatkan untuk berhati-hati apabila amaran cuaca buruk dikeluarkan oleh agensi berkaitan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk tidak melakukan pelayaran atau turun ke laut bagi menghindari perkara yang tidak diingini.

Pelaut-pelaut juga diingatkan untuk tidak memasuki atau berlabuh di kawasan zon-zon keselamatan di perairan Negara Brunei Darussalam dalam lingkungan 500 meter dari binaan yang telah diwartakan bagi mengelakkan risiko perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Antara lain risiko atau bahaya, ia boleh mengakibatkan letupan, kebocoran, maut, kecederaan dan kerosakan harta benda.

Menurut kenyataan itu lagi, di bawah Perintah Perkapalan Pedagang (Zon Keselamatan), 1988 dan Pindaan 2013, nakhoda ataupun mana-mana pemilik kapal dan bot ataupun para nelayan yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi $100,000 dan kapal boleh ditahan, jika sabit kesalahan.

Mengikut Bab 13(1)(a), Perintah Perikanan, 2009 pula menyatakan bahawa mana-mana orang yang di dalam perairan Negara Brunei Darussalam mengendalikan atau membenarkan untuk dikendalikan apa-apa peralatan menangkap ikan tanpa suatu lesen adalah melakukan suatu kesalahan.

Di bawah Bab 13(1)(d), Perintah Perikanan, 2009 telah menyatakan bahawa mana-mana orang yang di dalam perairan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai lesen yang sah tetapi melanggar syarat lesen alat menangkap ikan adalah melakukan suatu kesalahan seperti menangkap ikan di kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan termasuk kawasan taman laut/ risab laut (MPA) dan moratorium.

Sementara mengikut Bab 13(1)(d), Perintah Perikanan, 2009 pula menyatakan bahawa mana-mana orang yang di dalam perairan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai lesen yang sah tetapi melanggar syarat lesen alat menangkap ikan adalah melakukan suatu kesalahan seperti nelayan kecil-kecilan menggunakan sebarang alat andang secara ditunda menggunakan perahu atau apa cara sekali pun semasa menangkap ikan.

Di bawah Bab 31, Perintah Perikanan, 2009 pula telah menyatakan bahawa mana-mana nelayan yang di dalam perairan Negara Brunei Darussalam menggunakan atau memiliki bahan-bahan letupan, racun atau senjata tempuling untuk niat menangkap ikan adalah melakukan suatu kesalahan dan akan dihadapkan serta didakwa di mahkamah.

ARTIKEL YANG SAMA