Nelayan Thailand selamat selepas dirempuh kapal

Nelayan Thailand selamat selepas dirempuh kapal

PASIR PUTEH, 16 Sept (Bernama) – Dua nelayan Thai yang terselamat selepas bot mereka dirempuh sebuah kapal pengangkut pasir di perairan Pulau Redang dua hari lepas, tiba di Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi Isnin lepas, Arwae Buisa, 38, dan rakannya Yakaria Koya, 39, berjaya menyelamatkan diri selepas terjun dari bot dan berpaut pada tiang unjam sebelum diselamatkan kapal pengangkut pasir itu.

Menceritakan saat mencemaskan yang dihadapi mereka, Arwae berkata kejadian berlaku terlalu pantas.

“Kami hanya menyedari kapal berkenaan terlalu hampir dengan bot, dan kami tiada pilihan selain terjun ke laut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka berasal dari Narathiwat, selatan Thailand, bersyukur kerana terselamat dan tidak cedera.

Arwae berkata dalam keadaan kelam kabut itu dia terpaksa berenang sejauh 100 meter untuk berpaut pada tiang unjam tetapi terpaksa berenang balik ke tempat kejadian untuk membantu Yakaria yang cedera di kaki.

ARTIKEL YANG SAMA