Nelayan tunda boya bertanda China

Nelayan tunda boya bertanda China

MANILA, 26 Julai (Reuters) – Nelayan Filipina menemui beberapa boya dengan tanda China berhampiran Beting Scarborough dan menunda alat berkenaan kembali ke pantai barat laut ibu negara, Manila, kata pegawai Filipina hari ini.

China merampas kawalan singkapan berbatu di Laut China Selatan pada 2012 selepas perbalahan selama tiga bulan dengan kapal pengawal pantai Filipina, menghalang nelayan Filipina daripada menghampiri kawasan penangkapan ikan tradisional mereka.

Beting terletak kira-kira 125 batu nautika dari barat Filipina.

“Ya, terdapatnya boya di sana,” kata Desiree Edora, datuk bandar Masinloc, yang mempunyai kuasa ke atas Beting Scarborough.

“Saya telahpun menghantar ketua polis untuk menyiasat boya itu,” beritahunya kepada Reuters.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, dipercayai kaya dalam simpanan minyak, di mana kira-kira $5 trilion barangan bawaan kapal melaluinya setiap tahun.

Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan juga mempunyai tuntutan di kawasan tersebut.

Beijing semakin bersifat pendesak di Laut China Selatan. Penebusgunaan pesat di sekitar terumbu di gugusan Spratly terutamanya telah menimbulkan kebimbangan, di rantau dan di Amerika Syarikat.

Semalam, sembilan nelayan Filipina berkata mereka menemui tiga bum pembendungan jingga, digunakan untuk mengawal tumpahan minyak, terapung-apung kira-kira enam batu di luar Beting Scarborough. Ia adalah kali pertama nelayan di sana telah menemui alat sedemikian.

ARTIKEL YANG SAMA