Nelayan, wanita M’sia terlepas hukuman penjara

Nelayan, wanita M’sia terlepas hukuman penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151007_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Seorang nelayan sambilan terlepas dari meringkuk di penjara selama empat bulan apabila membayar denda $4,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki rokok yang tidak diisytiharkan.

Haji Hasnan bin Tengah, 33, dari RPN Kampung Tanah Jambu didakwa memiliki 12 karton dan 15 paket rokok di kediamannya pada 7 September 2015 kira-kira jam 11:16 pagi.

Fakta kes menyebut, pegawai pencegah kastam membuat serbuan ke rumah defendan sebaik menerima maklumat berhubung dengan adanya penjualan rokok kepada orang ramai.

Pemeriksaan terhadap rumah defendan menemui rokok-rokok di atas meja bulat dan dalam almari di rumah tersebut.

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu dari seorang lelaki yang ditemuinya di kedai runcit.

Terdahulu dalam bilik mahkamah yang sama, seorang wanita Malaysia juga terlepas dari dipenjarakan selama tiga minggu apabila membayar denda $900 yang dikenakan atas dua kesalahan memiliki minuman keras yang tidak diisytiharkan.

Then Lee Chu, 44, didakwa memiliki 48 tin dan enam botol minuman keras dalam keretanya pada 5 Mei 2014 sekitar jam 2 petang di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah.

Untuk pertuduhan kedua, defendan didapati memiliki 38 tin minuman keras, juga dalam keretanya di kawasan pos yang sama pada 20 April 2015 kira-kira jam 7 malam.

Minuman keras itu ditemui disembunyikan di beberapa bahagian kereta yang dipandu defendan.

ARTIKEL YANG SAMA