Nenek 92 tahun, pecah rekod pelari maraton tertua

Nenek 92 tahun, pecah rekod pelari maraton tertua

SAN DIEGO, 1 Jun (AFP) – Seorang nenek warga Amerika Syarikat (AS) berusia 92 tahun telah menjadi wanita tertua yang menamatkan larian maraton, apabila dia tiba di garisan penamat San Diego semalam, menurut penganjur perlumbaan.

Harriette Thompson yang tersenyum, berusia 92 tahun dan 65 hari, disambut dan disorak oleh berpuluh-puluh orang ramai dan para penyokong ketika dia menamatkan acara California Selatan dalam masa tujuh jam, 24 minit dan 36 saat.

Bercakap kepada akhbar tempatan, Charlotte Observer, Thompson mengatakan dia merasa ‘sedikit kejang’ selepas perlumbaan itu.

“Saya juga berasa letih ada ketikanya. Sekitar 21 batu, saya menaiki bukit dan ia seperti mendaki gunung,” ujarnya kepada Observer.

“Saya mula berfikir, ‘Ini adalah perkara gila pada usia saya.’

Namun kemudian saya merasa lebih baik apabila menuruni bukit itu. Dan anak lelaki saya, Brenny tetap memberi saya makanan karbohidrat enak untuk mengekalkan saya meneruskan perlumbaan itu.”

Pelari maraton wanita tertua sebelumnya adalah seorang lagi warga Amerika, Gladys ‘Gladyator’ Burrill, yang berusia 92 tahun dan 19 hari apabila dia menyertai acara Honolulu pada 2010.

Thompson menyertai maraton itu untuk mengumpul wang bagi penyelidikan kanser, satu penyakit yang dia sendiri mengidapnya.

Nenek yang sudah mempunyai 10 cicit itu juga berjaya menamatkan perlumbaan berkenaan tahun lepas dengan masa tujuh jam, tujuh minit dan 42 saat.

Pelari maraton lelaki tertua ialah Fauja Singh berusia 101 apabila dia bersara daripada perlumbaan pada tahun 2013.