Neolene cetus kesedaran sivik masyarakat

Neolene cetus kesedaran sivik masyarakat

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 28 Okt – Siapa sangka bahawa satu tindakan kecil boleh membawa kesan yang besar kepada penduduk tempatan di sini, malah ia membuka mata mereka akan betapa pentingnya bagi kita untuk menjaga kebersihan bukan sahaja di kawasan keliling rumah tetapi juga di kawasan yang berhampiran.

Ini kerana ia menjadi tanggungjawab ‘kitani’ semua untuk memelihara alam sekitar di negara ini.

Media Permata bertemu dengan seorang warga asing dari Australia, Noelene Thorne, 62, yang tinggal bersama anaknya yang bekerja dalam industri minyak dan gas di Seria, hari ini untuk mengetahui cerita di sebalik aktiviti beliau mengutip sampah-sampah berdekatan kawasan perumahan ekspatriat dan perumahan STKRJ Lorong Tiga di sini.

“Saya telah berada di negara ini hampir sebulan untuk melawat anak saya, tidak menyangka yang perbuatan kecil ini akan memberi kesan mendalam terhadap orang ramai,” jelasnya kepada wartawan Media Permata.

Noelene dilihat di sepanjang jalan berdekatan rumahnya mengutip sampah oleh salah seorang warga tempatan, meminta izin untuk mengambil gambar aksi beliau dan kemudiannya memasukkannya di laman web popular Facebook.

Noelene Thorne dengan sampah sarap yang beliau kutip kelmarin.
Noelene Thorne dengan sampah sarap yang beliau kutip kelmarin.

Tanpa diduga ‘posting’ tersebut telah dikongsikan sebanyak 1,600 kali dan menerima 2000 ‘Likes’ serta pujian daripada banyak warga tempatan yang membaca cerita mengenai beliau.

Noelene yang sudah bersara pernah bekerja sebagai seorang jururawat di tempatnya di Gold Coast, Australia dan apa yang menggerakkan hatinya pada hari tersebut sehingga kini mengutip sampah-sampah yang bertaburan di jalan-jalan, adalah kerana pendidikan serta pengalaman yang beliau dapat sejak dulu lagi.

“Di Australia, sesiapa didapati membuang sampah merata-rata akan dikenakan saman dan kami telah dididik semenjak kecil lagi untuk menjaga alam persekitaran di sekeliling kami.

“Apabila saya meningkat dewasa, saya juga pernah mengikuti organisasi Greenpeace sebagai seorang sukarelawan dan dari sana menimba pengalaman akan kepentingan untuk menjaga dan memelihara alam sekitar kita,” kata Noelene.

Greenpeace adalah sebuah pertubuhan yang bermatlamat untuk menjaga alam persekitaran global dan ini termasuklah penjagaan alam sekitar dari sampah sarap seperti plastik, tin, kertas dan lain-lain lagi dan telah beroperasi sejak sekitar tahun 1969-1972 sehingga ke hari ini.

Menurut pendapat-pendapat dari laman web Facebook mengenai usaha Noelene tersebut yang telah mendapat banyak perhatian daripada orang ramai, ada yang menyatakan tindakan beliau telah menaikkan aspirasi dalam diri mereka sendiri untuk menjaga alam sekitar di sekeliling mereka dan ada yang mencadangkan bahawa Noelene patut diberi sebuah tanda penghargaan bagi usahanya itu.

“Ketika itu saya cuma ingin membersihkan halaman rumah anak saya dan kemudiannya saya beralih lagi kepada sekitar jalan di luar rumah dan langkah demi langkah secara tidak sedar saya terus membersihkan kawasan jalan di sepanjang jalan di mana seorang warga tempatan mengambil gambar saya,” kata Noelene.

Bagi Noelene, beliau berpendapat bagi dirinya serta semua warga di negara ini dan juga kepada masyarakat global, ianya adalah menjadi tanggungjawab kita semua menjaga alam sekitar di sekeliling kita dan ianya bermula dari fikiran sendiri untuk mengambil inisiatif membersihkan keadaan di rumah dan juga luar rumah sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA