Nepal berkas 38 dalam mogok sekatan sempadan

Nepal berkas 38 dalam mogok sekatan sempadan

KATHMANDU, 29 Nov (AFP) – Polis Nepal hari ini memberkas 38 pembantah yang cuba melancarkan mogok terhadap negara jiran India yang dituduh melakukan sekatan sempadan sepanjang beberapa minggu sehingga mengakibatkan kekurangan bekalan minyak teruk.

Banyak kedai ditutup di ibu negara Kathmandu dan lalu lintas berkurangan di jalan raya selepas seruan mogok oleh parti berhaluan keras kecil, Komunis.

“Kami sudah memberkas 38 orang kerana cuba menghalang jalan dan merosakkan kenderaan,” kata jurucakap polis Kamal Singh Bam memberitahu AFP.

Bantahan di sempadan mengenai perlembagaan baru Nepal membawa kepada kekurangan bekalan minyak di negara Himalaya dikelilingi daratan itu, manakala bekalan ubat-ubatan jua semakin sedikit.

Nepal amat bergantung kepada negara gergasi India bagi minyak dan bekalan lainnya, namun hanya sedikit kenderaan kargo melintasi pos kawalan sempadan mereka semenjak bantahan tercetus dalam lewat September.

Aktivis Nepal semasa rapat protes pertikaian sempadan antara Nepal dan India di Kathmandu. Berpuluh-puluh lori terkandas di pos kawalan sempadan selama dua bulan ekoran protes oleh etnik minoriti ke atas perlembagaan baru negara Himalaya itu yang diperkenalkan dalam September, mengakibatkan krisis bahan api dan bekalan ubat di seluruh negara itu. – AFP

Pergerakan menyeberangi pos kawalan sempadan juga semakin perlahan, menyebabkan kerajaan Nepal menuduh India—yang mengkritik perlembagaan baru—membalas dendam dengan satu ‘sekatan tidak rasmi.’

New Delhi bagaimanapun menafikan tuduhan dan menggesa dialog dengan pembantah yang terdiri daripada minoriti etnik Madhesi dan berkongsi hubungan budaya, bahasa dan kekeluargaan rapat dengan rakyat India yang tinggal di seberang sempadan itu.

Pembantah dari masyarakat Madhesi mengatakan perlembagaan yang dikuatkuasakan dalam September membuatkan mereka dipinggirkan dalam politik.

“Mogok kami adalah terhadap sekatan India dan campur tangannya dalam Nepal,” kata Khadga Bahadur Bishwokarma, jurucakap bagi parti Komunis Nepal (Maois).

“Berapa lama lagi rakyat Nepal perlu menderita? India mesti beralah.”

ARTIKEL YANG SAMA