Nepal hantar pasukan mencari dan menyelamat asing pulang

Nepal hantar pasukan mencari dan menyelamat asing pulang

KATHMANDU, 4 Mei (Bernama) – Nepal memutuskan menghantar pulang pasukan mencari dan menyelamat asing memandangkan negara itu berkeupayaan untuk mengendalikan sendiri operasi mencari dan menyelamat.

Walaupun kerajaan belum membuat keputusan rasmi berhubung perkara itu, Jawatankuasa Pusat Bantuan Bencana Alam (CNDRC) yang diketuai Menteri Dalam Negeri telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menghantar pulang pasukan penyelamat luar negara, kata pegawai di Kementerian Dalam Negeri.

Majlis Menteri-Menteri dijangka membuat keputusan rasmi pada Isnin.

“Ia adalah amalan biasa di mana-mana di dunia, pasukan mencari dan menyelamat asing tidak boleh tinggal lebih seminggu dan CNDRC telah memutuskan untuk mencadangkan kepada kerajaan, menghantar pulang pasukan penyelamat asing, memandangkan kerajaan sendiri boleh mengendalikan situasi itu.

“Kami amat menyanjung tinggi bantuan yang dihulur rakan-rakan negara asing semasa operasi mencari dan menyelamat sepanjang lebih seminggu yang lepas tetapi Nepal kini boleh menangani situasi itu sekarang,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal.

Penduduk kampung Nepal mendapatkan bantuan daripada helicopter tentera India di kampung Bhogteni, daerah Gorkha di Nepal, 4 Mei. Negara itu hari ini mengatakan akan menghantar pulang pasukan mencari dan menyelamat asing. – AFP
Penduduk kampung Nepal mendapatkan bantuan daripada helicopter tentera India di kampung Bhogteni, daerah Gorkha di Nepal, 4 Mei. Negara itu hari ini mengatakan akan menghantar pulang pasukan mencari dan menyelamat asing. – AFP

Kira-kira 4,050 sukarelawan dengan 129 anjing pengesan dari 34 negara termasuk Malaysia kini sedang membantu Nepal dalam operasi mencari dan menyelamat selepas kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April menyebabkan lebih 7,240 orang maut.

Menurut Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaaan (NEOC) di bawah Kementerian Dalam Negeri, sehingga kini 7,250 mayat dijumpai, manakala 14,266 orang cedera dalam bencana itu.

Pegawai menjangkakan jumlah mangsa yang cedera dan terkorban meningkat, memandangkan banyak mayat tidak dapat dikeluarkan daripada runtuhan terutama di kawasan pedalaman.

Sebahagian perkampungan di Gorkha dan Sindhupalchock telah musnah sama sekali akibat gempa bumi itu, dan ribuan dijangka masih lagi tertimbus di bawah runtuhan. Walaupun pasukan mencari dan menyelamat luar negara akan dihantar pulang, Nepal bagaimanapun akan terus mendapatkan lebih banyak bantuan daripada masyarakat antarabangsa untuk bantuan dan pembinaan semula kawasan-kawasan yang terjejas.

“Kami amat mengalu-alukan bantuan material daripada masyarakat antarabangsa dan rakan-rakan luar negara, yang akan diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan oleh kerajaan Nepal sendiri,” kata Dhakal.

Ia bagaimanapun tidak membabitkan pasukan perubatan kerana pekerja kesihatan asing yang terhad akan dibenar membantu kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa gempa bumi, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA