Nepal larang sementara pembinaan baru

Nepal larang sementara pembinaan baru

KATHMANDU, 19 Mei – Nepal melarang pembinaan rumah, bangunan kerajaan dan infrastruktur sehingga pertengahan Julai berikutan gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih daripada 8,500 orang dan meranapkan lebih daripada 400,000 rumah dan bangunan kerajaan.

Kerajaan pada Isnin mengarahkan kesemua pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi kerajaan supaya tidak mengeluarkan permit pembinaan untuk rumah baharu selama dua bulan sehingga satu peraturan pembinaan baharu berkuat kuasa, kata pegawai di Kementerian Pembangunan Tempatan Nepal.

“Kami tidak membenarkan pembinaan baharu sehingga pertengahan Julai ini sementara kerajaan merangka peraturan pembinaan mandatori untuk keselamatan orang awam, kata jurucakap kepada kementerian itu, Purna Chandra Bhattarai.

Kerajaan mengeluarkan larangan pembinaan baharu berdasarkan kemusnahan akibat gempa bumi itu dan gegaran susulan di seluruh negara beberapa minggu sebelum ini, kata Bhattarai.

Mereka yang telah mula membina semula rumah mereka boleh meneruskan pembinaan tetapi mereka hanya dibenarkan melakukan pembinaan kediaman mereka sehingga dua tingkat sahaja, katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan juga diarahkan supaya memantau dengan tegas rumah yang sedang dibina bagi memastikan pematuhan Peraturan Pembinaan Nasional sedia ada dan menuruti lain-lain garis panduan pembinaan.

Nepal mengumumkan satu peraturan pembinaan pada 1994 tetapi ia tidak dilaksanakan sepenuhnya di sini dan lain-lain tempat. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA