Nepal peringati mangsa gempa bumi

Nepal peringati mangsa gempa bumi

KATHMANDU, 24 April – Nepal mengadakan upacara peringatan hari ini bagi beribu-ribu orang yang terbunuh dalam kejadian gempa bumi besar setahun lalu, ketika para mangsa yang masih tinggal di khemah-khemah menuduh kerajaan mengecewakan mereka.

Gempa bumi 7.8 magnitud mengorbankan hampir 9,000 orang dan kira-kira empat juta mangsa yang terselamat masih tinggal di tempat perlindungan sementara, menurut Persekutuan Pasukan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Perdana Menteri K P Sharma Oli meletakkan bunga di menara abad ke-19 yang musnah di Kathmandu yang mana beratus-ratus orang berhimpun bagi upacara suram itu, selepas bertafakur selama seminit untuk mengenang mereka yang terbunuh.

Sami-sami Buddha yang berpakaian jubah merah manggis bersembahyang di sebuah tapak berhampiran tapak yang pernah bertapaknya sebuah kuil popular yang telah musnah dalam gempa bumi.

Pemandu perjalanan jauh Govinda Timilsina berkata kehidupannya rumit sejak kehilangan rumahnya, ketika dia menantikan bantuan dan tidak mampu sendiri membina semula rumah kerana peraturan kerajaan yang rumit bagi melayakkannya mendapat bantuan gempa bumi.

Gabungan dua gambar menunjukkan kakitangan penyelamat mencari mangsa selepas gempa bumi di Bhaktapur, pinggir Kathmandu pada 27 April 2015 (gambar atas) dan tempat yang sama pada 22 April 2016 (gambar bawah). – AFP
Gabungan dua gambar menunjukkan kakitangan penyelamat mencari mangsa selepas gempa bumi di Bhaktapur, pinggir Kathmandu pada 27 April 2015 (gambar atas) dan tempat yang sama pada 22 April 2016 (gambar bawah). – AFP

“Tidak mungkin untuk dapat tinggal di kampung, kami telah kehilangan segala-galanya,” Timilsina, 28 tahun berkata tentang terpaksa menempatkan semula ibunya, isterinya dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dari daerah Dhading yang teruk terjejas.

“Peraturan kerajaan begitu mengelirukan, kami bimbang kami tidak akan mendapat pampasan jika kami sendiri memulakan kerja membina semula rumah,” kata Timilsina, yang menyewa sebuah bilik di Kathmandu untuk keluarganya. – AFP