Nepal pohon lebih bantuan

Nepal pohon lebih bantuan

KATHMANDU, 18 Mei – Nepal yang teruk dilanda gempa bumi kuat pada 25 April dan gegaran susulan, telah memuji masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia kerana tindakan pantas dalam merayu bantuan dan sumbangan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula negaranya.

Usaha mencari dan menyelamat akibat gempa bumi itu telah berakhir dan usaha pemulihan dan pembinaan semula bermula dengan kerajaan memohon sokongan dan kerjasama antarabangsa memandangkan sumber daripada Nepal sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran yang begitu besar, kata Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

“Kerajaan telah menganggarkan ia akan melibatkan kos US$4 bilion untuk bantuan segera serta pemulihan termasuk membina semula bangunan dan infrastruktur yang rosak.

Kami memohon sekurang-kurangnya AS$2 bilion daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Kerajaan Nepal telah menubuhkan Dana Pemulihan dan Pembinaan Semula Kebangsaan dengan peruntukan sebanyak AS$200 juta sebagai dana permulaan dan merayu kepada masyarakat antarabangsa serta sektor swasta untuk menyumbang kepada dana berkenaan bagi pembinaan semula negara berkenaan.

Koirala turut memuji tindakan pantas masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat selepas gempa bumi 25 April lepas dan berkata, “Nepal bernasib baik kerana mempunyai hubungan baik yang meluas, maklum balas yang menggalakkan dan sokongan kuat daripada masyarakat antarabangsa, ketika negara dilanda krisis.

“Saya menghargai masyarakat antarabangsa khususnya, India, China, negara-negara SAARC serta Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Australia, Israel, Pertubuhan Bangsa Bersatu, anggota Kesatuan Eropah, Republik Korea, Kanada, Malaysia, Turki, Singapura dan lain-lain atas tindakan pantas dan ikhlas terhadap rayuan Nepal,” katanya.

Gempa bumi itu telah mengakibatkan kerosakan yang besar dan pembinaan semula memerlukan masa yang lebih lama dan dana yang banyak, kata Koirala sambil menambah kerajaan Nepal yakin, ia akan dapat membina semula negara itu tidak lama lagi dengan kerjasama rapat masyarakat antarabangsa.

“Ia menjadi begitu sukar berikutan bencana begitu besar yang tidak pernah kami terfikir. Kerugian kami sangat besar,” katanya.

Koirala berkata beliau mendapat sokongan daripada negara jiran, rakan pembangunan, rakan-rakan dan pihak yang mengambil berat dalam masyarakat antarabangsa dan yakin akan menerima lebih banyak sokongan daripada masyarakat antarabangsa, ketika Nepal memulakan fasa pemulihan dan pembinaan semula.

“Bersama-sama kita boleh membina semula Nepal,” kata beliau.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April lepas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 8,500 orang. –Bernama

ARTIKEL YANG SAMA