Nepal tegah rakyat kerja di Afghanistan

Nepal tegah rakyat kerja di Afghanistan

KATHMANDU, 24 Jun (AFP) – Nepal telah menegah rakyatnya daripada bekerja di Afghanistan selepas serangan bom berani mati membunuh 13 pengawal Nepal di Kabul minggu ini, menurut pegawai hari ini.

Kerajaan mengatakan keselamatan warga Nepal yang bekerja di zon berbahaya merupakan ‘kebimbangan utamanya’ dan ia akan berusaha untuk membawa balik ribuan rakyatnya yang sudah bekerja di Afghanistan, walaupun ia tidak memberi rangka waktu.

“Kerajaan…..telah memutuskan untuk mengenakan tegahan bagi menghantar para pekerja ke Afghanistan,” kata Govinda Mani Bhurtel, jurucakap bagi Kementerian Buruh dan Pekerjaan.

Mangsa-mangsa terbaru adalah di antara 14 pengawal keselamatan yang terbunuh pada Isnin dalam letupan berani mati Taliban yang menyasarkan bas-bas mereka ketika mereka menuju ke tempat kerja di kedutaan Kanada di Kabul. Lelaki ke-15 meninggal dunia di hospital pada Rabu.

Jumlah rasmi menunjukkan 3,300 warga Nepal pada masa ini bekerja di Afghanistan sebagai pengawal keselamatan, namun ia tidak termasuk mereka yang membuat perjalanan melalui negara-negara Teluk dan jumlah sebenar dirasakan lebih tinggi.

Nepal sudah menegah rakyatnya dari berkunjung ke Syria, Iraq dan Libya untuk mencari kerja.

Namun penyokong hak asasi kemanusiaan mengatakan tegahan sedikit itu tidak dapat menghalang warga Nepal yang terdesak untuk bekerja dengan berkunjung ke negara-negara seumpamanya.

“Keputusan kerajaan untuk mengenakan tegahan ke atas destinasi buruh bukanlah satu penyelesaian jangka panjang,” kata setiausaha agung GEFONT ( Persekutuan am bagi Kesatuan Perdagangan Nepal), Bishnu Lamsal.

ARTIKEL YANG SAMA