Netanyahu anggap PBB hipokrit

Netanyahu anggap PBB hipokrit

BAITULMAQDIS, 19 Jun (AFP) – Perdana Menteri Benjamin Netanyahu hari ini mengutuk apa yang beliau anggap sebagai sikap “hipokrit” Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selepas ketua badan dunia itu Ban Ki-moon mendesak agar Israel melindungi jiwa kanak-kanak di Gaza.

“Ini adalah hari yang paling malang bagi PBB,” kata Netanyahu. “Sepatutnya mereka menyalahkan Hamas kerana menjadikan kanak-kanak di Gaza sebagai tebusan apabila ia melepaskan bedilan dari kawasan taman asuhan…sebaliknya PBB memilih untuk menuding jari kepada Israel.”

“Sudah terbukti dan terserlah kini sifat kepura-puraan badan dunia ini,” kata pemimpin Israel itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau menyerahkan Anugerah Genesis kepada aktor AS keturunan Yahudi, Michael Douglas pada satu majlis di Baitulmaqdis.

Ban pada semalam menggesa Israel agar melindungi jiwa kanak-kanak Palestin, yang Israel dipertanggungjawabkan ke atas operasi ketenteraan yang mereka jalankan di Semenanjung Gaza.

Netanyahu (kiri) ketika menyerahkan Anugerah Genesis kepada aktor AS, Michael Douglas (tengah) dalam satu majlis di Baitulmaqdis pada 18 Jun 2015. – AFP
Netanyahu (kiri) ketika menyerahkan Anugerah Genesis kepada aktor AS, Michael Douglas (tengah) dalam satu majlis di Baitulmaqdis pada 18 Jun 2015. – AFP

“Tahun lepas adalah salah satu yang terburuk melanda kanak-kanak di negara-negara yang terjejas dengan konflik,” kata ketua PBB itu, sambil menambah beliau “amat prihatin dengan penderitaan yang dialami ramai kanak-kanak akibat operasi tentera Israel di Gaza pada tahun lepas.”

Setiausaha Agung PBB itu berkata tahun lepas adalah yang paling maut bagi kanak-kanak di Gaza, dengan lebih 500 orang kecundang akibat kerakusan tentera Yahudi. PBB turut menuduh tentera Israel bertanggungjawab ke atas serangan yang menyasarkan bangunan-bangunan di mana orang awam berlindung ketika konflik tersebut.