Netanyahu rayu sokongan Yahudi AS

Netanyahu rayu sokongan Yahudi AS

BAITULMAQDIS, 5 Ogos (AFP) – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam cuba meraih sokongan kaum Yahudi Amerika Syarikat supaya menentang perjanjian nuklear yang diperjuangkan oleh Presiden Barack Obama dan berdepan kajian semual oleh Kongres, sambil berkata ia memberi risiko malapetaka perang di Timur Tengah.

Dalam forum webcast dianjurkan kumpulan Yahudi di Amerika Utara, Netanyahu mengulangi pendirian Israel bahawa perjanjian pada 14 Julai tidak memadai untuk mengekang projek nuklear Iran dengan potensi pembuatan bom, sementara penarikan balik sekatan memberi peluang negara itu mencetuskan konflik serantau.

Dengan tinjauan-tinjauan menunjukkan pandangan Yahudi Amerika yang berbelah bahagi mengenai pertikaian yang turut menjejaskan gabungan AS-Israel, Netanyahu menyatakan bantahannya terhadap perjanjian itu sambil menganggapnya sebagai bukan partisan.

Beliau turut menolak dakwaan pentadbiran Obama bahawa perjanjian itu adalah satu-satunya cara untuk mengelak berlaku peperangan dengan Iran.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – Reuters
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – Reuters

“Saya tidak menentang perjanjian ini kerana saya mahukan perang. Saya menentang perjanjian ini kerana saya mahu mencegah perang. Dan yang pasti perjanjian ini akan membawa perang,” katanya.

“Ini adalah masanya untuk kita bersama-sama menyatakan penentangan. Tentanglah perjanjian yang berbahaya ini.”

Penganjur-penganjur berkata 10,000 orang – tidak mengambil kira jangkaan kumpulan audiens – telah mendaftar untuk menonton webcast tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA