Neuer, Griezmann tumpuan aksi Jerman-Perancis

Neuer, Griezmann tumpuan aksi Jerman-Perancis

MARSEILLE, 7 Julai – Penjaga gol paling kental di Euro 2016 Manuel Neuer perlu berhati-hati dengan penjaring terbanyak kejohanan Antoine Griezmann pada pertemuan separuh akhir antara Jerman dan Perancis awal pagi ini.

Imbuhan bagi pertembungan di Marseille adalah aksi final bertemu Portugal yang diterajui Cristiano Ronaldo di Paris pada awal pagi Isnin nanti.

Tetapi tuan rumah Kejuaraan Eropah kali ini, Perancis juga menyimpan untuk menundukkan juara dunia, Jerman dalam kejohanan besar buat pertama kali dalam tempoh 58 tahun.

Sepanjang tempoh itu, Jerman menang tiga kali ke atas Perancis dalam saingan Piala Dunia, kali terakhir pada suku akhir dua tahun lalu.

Pertemuan paling diingati ialah pada separuh akhir 1982 apabila pemain Perancis, Patrick Battiston terpaksa diberi bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan di atas padang selepas bertembung dengan penjaga gol Jerman Harald Schumacher.

Aksi kedua-dua pemain German dan Perancis pada perlawanan Euro yang lalu. Griezman (atas) dan Neuer menjadi tumpuan dalam perlawanan separuh akhir malam tadi. - AFP
Aksi kedua-dua pemain German dan Perancis pada perlawanan Euro yang lalu. Griezman (atas) dan Neuer menjadi tumpuan dalam perlawanan separuh akhir malam tadi. – AFP

p14-3_20160708

Penjaga gol Bayern Munich, Neuer dan penyerang Atletico Madrid, Griezmann adalah kunci kepada penentuan tiket ke final dalam aksi separuh akhir awal pagi nanti.

Griezmann meledak empat gol sepanjang laluan Perancis ke separuh akhir yang menyaksikan skuad tuan rumah semakin meningkat dari perlawanan ke perlawanan.

Dua daripada golnya hadir ketika menewaskan Iceland 5-2 di suku akhir hujung minggu lalu di Stade de France.

Neuer pula hanya dibolosi sekali dalam tempoh permainan sebenar sepanjang lima perlawanan – ketika bertemu Itali di suku akhir – di mana Jerman akhirnya mara selepas memenangi penentuan penalti.

“Kami perlu menjaringkan gol. Ini adalah pasukan yang tidak melepaskan banyak gol,” kata pengendali Perancis Didier Deschamps. “Semua orang memperkatakan tentang serangan mereka, tetapi mereka mereka tahu untuk bertahan.”

Pengendali Jerman, Joachim Low sedar dengan ancaman yang bakal diberikan tuan rumah.

“Kami perlu mengurangkan jarak antara pemain dan menutup ruang di bahagian pertahanan. Perancis bakal menjadi lawan paling sukar dalam kejohanan sehingga peringkat ini,” kata Low.

Deschamps tidak mempunyai masalah kecederaan dalam skuadnya dan akan diperkuat semula pemain tengah N’Golo Kante dan pertahanan Adil Rami yang digantung satu perlawanan sebelum ini.

Jerman kehilangan bek tengah Mats Hummel yang digantung perlawanan, penyerang Mario Gomez dan pemain tengah, Sami Khedira direhatkan akibat kecederaan.

Low turut berdepan masalah dengan bintang Bayern, Thomas Mueller yang menjadi sumber gol utama mereka tetapi sehingga kini masih belum menemui sentuhannya di kejohanan ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA