Neville masih mencari kemenangan sulung La Liga

Neville masih mencari kemenangan sulung La Liga

MADRID, 20 Dis (Reuters) – Pengendali Valencia, Gary Neville, masih lagi tercari-cari kemenangan sulung dalam saingan La Liga.

Ini selepas pasukannya terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat Getafe pada aksi penuh mendebarkan di laman sendiri, awal pagi waktu Brunei.

Valencia sekadar seri 1-1 menentang Eibar minggu lalu.

Meskipun pasukannya menunjukkan peningkatan, namun masih banyak lagi perlu dilakukan Neville untuk membolehkan anak buahnya terus memberi cabaran pada saingan liga.

Pablo Sarabia memecah kebuntuan pada minit ke-10 buat Getafe, sebelum Paco Alcacer menyamakan kedudukan lima minit berselang.

Namun pasukan pelawat sekali lagi mendahului perlawanan menerusi Angel Lafita sebelum jaringan penyamaan Santi Mina pada minit ke-80 menyelamatkan Valencia yang terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-2.

“Kami sering membenarkan pasukan lawan menyerang balas sekali gus mendatangkan masalah kepada kami. Memalukan kerana kami sudah bermain dengan sangat baik dan pemain memberi 100 peratus komitmen,” kata Neville pada sidang media.

Atletico Madrid pula boleh memintas Barcelona selaku pendahulu liga jika mereka sekurang-kurangnya meraih keputusan seri menentang Malaga, esok, sementara pasukan di tangga ketiga liga, Real Madrid, bakal melayan kunjungan Rayo Vallecano.

Sementara itu, juara Liga Europa, Sevilla sekadar seri 0-0 menentang musuh setempat, Real Betis pada aksi yang dicemari dengan kekasaran dan layangan kad kuning.

ARTIKEL YANG SAMA