Neville nikmati kemenangan pertama

Neville nikmati kemenangan pertama

BARCELONA, 17 Dis – Gary Neville menikmati kemenangan pertamanya sebagai jurulatih Valencia apabila pasukannya dengan mudah menang 2-0 ke atas kelab bawahan Barakaldo kelmarin sekali gus menempah tempat pada 16 terakhir dalam saingan Piala Raja dengan agregat 5-1.

Tandukan Santi Mina membawa Valencia ke depan selepas lapan minit dan Alvaro Negredo menyumbat masuk gol kedua bagi pasukan itu.

Bekas pemain pertahanan England Neville, pada perlawanan ketiganya memimpin pasukan Sepanyol itu, membuat keputusan untuk tidak membuat banyak pertukaran pemain walaupun mempunyai kelebihan 3-1 pada perlawanan pertama.

Sementara itu, Eibar mengubah nasib kekalahan 3-0 mereka sebelum ini apabila menang 4-0 ke atas Ponferradina yang hanya bermain 10 orang.

Pasukan tersebut menunjukkan keutamaan mereka adalah La Liga apabila merehatkan sembilan pemain daripada pasukan yang seri dengan Valencia pada Ahad lepas dan tetap menang, walaupun pembuangan Jesus Berrocal pada separuh masa pertama membuat perbezaan yang ketara.

Ponferradina bermula dengan kuat namun terpaksa bermain sepuluh orang 10 orang selepas Berrocal diberikan dua kad kuning berturut-turut selepas menyiku Aleksandar Pantic dan bertengkar dengan pengadil.

Borja Baston membawa Eibar ke depan selepas menjaringkan hasil umpanan dari sepakan sudut sebelum separuh masa pertama tamat dan gol-gol selebihnya datang daripada Sergi Enrich dan Simone Verdi sebelum Arrubarrena menyudahkan sepakan penaltinya. – Reuters