Neville tarik nafas lega

Neville tarik nafas lega

MADRID, 29 Jan – Tempoh sukar yang dihadapi Gary Neville ketika mengurus Valencia kini berubah apabila dia memperoleh suntikan motivasi apabila Los Che melangkah ke separuh akhir Copa del Rey dengan kemenangan 1-0 menentang Las Palmas, awal pagi tadi.

Selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama minggu lalu, Rodrigo melakukan jaringan daripada jarak dekat selepas 20 minit perlawanan dan itu sudah mencukupi bagi membawa kemenangan kelab itu dengan agregat 2-1.

Valencia akan menyertai Barcelona, Sevilla dan Celta Vigo dalam undian separuh akhir yang akan diadakan hari ini.

“Saya gembira dengan keputusan itu, gembira apabila mencatat rekod bersih, tetapi saya rasa kami membuatnya sukar untuk diri sendiri,” kata Neville.

“Saya rasa kami mahu membuat peminat Valencia sedikit menderita tetapi saya gembira bagi peminat.

“Mereka berhak untuk ke separuh akhir. Mereka sudah bersabar dengan saya dan pemain dalam empat atau lima minggu ini dan kami perlu berikan mereka kegembiraan ini.”

Nevilla masih belum memenangi dalam tujuh perlawanan La Liga sejak dia mengambil alih bulan lalu, tetapi rekod lima perlawanan tanpa kalah dalam Piala ini memberi Valencia tiket ke separuh akhir yang pertama dalam tempoh empat tahun.

Bekas penyerang Manchester City, Alvaro Negredo melakukan percubaan gol namun terkena sisi jaring dalam awal babak pertama yang turut mempamerkan Valencia beraksi baik. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA