New Horizon berjaya lintasi Pluto

New Horizon berjaya lintasi Pluto

LAUREL, Amerika Syarikat, 15 Julai – Kapal angkasa New Horizons milik NASA berjaya melakukan lintasan bersejarah di planet Pluto semalam, selepas agensi angkasa lepas AS itu menerima isyarat yang lama ditunggu-tunggu dari pesawat itu yang didapati masih utuh.

Kapal angkasa itu melintasi Pluto pada kelajuan 13.7 kilometer sesaat, sejauh 12,512 kilometer dari permukaannya pada jam 7.49 malam waktu Brunei.

“Kami mempunyai kapal angkasa yang baik,” kata pengurus operasi misi, Alice Bowman, yang mengesahkan hubungan dibuat dengan kapal angkasa itu yang sudah melalui perjalanan sejauh 4.8 bilion kilometer.

“Kita berada jauh dari Pluto.”

Tepukan gemuruh kedengaran di bilik kawalan utama misi ketika jurutera melaporkan bahawa semua peralatan kapal angkasa itu berada dalam keadaan baik dan berkomunikasi seperti yang dirancang menerusi isyarat “phone-home”.

Pasukan projek New Horizon memangkah poster lama ‘not yet’ menandakan bahawa Pluto telah diterokai. - Reuters
Pasukan projek New Horizon memangkah poster lama ‘not yet’ menandakan bahawa Pluto telah diterokai. – Reuters

Bergerak lebih cepat daripada mana-mana kapal angkasa yang pernah dibina, pada kelajuan kira-kira 30,800 batu sejam, New Horizons mencapai kemuncak misi sedekadnya, awal 13 jam apabila ia melintasi Pluto.

Kapal angkasa bersaiz piano itu menghabiskan sebahagian besar masanya di luar Bumi, sibuk merakamkan gambar Pluto apabila ia dipandu secara auto-pilot.

Namun, serpihan sebesar beras boleh memusnahkan kapal angkasa itu yang bernilai AS$700 juta dan tujuh instrumen sainsnya.

NASA menjangkakan peluang untuk kehilangan kapal angkasa itu akibat perlanggaran serpihan adalah satu dalam 10,000.

New Horizons, kapal angkasa berkuasa nuklear dilancarkan di Cape Canaveral, Florida pada tahun 2006.

Misi itu dianggap sebagai peristiwa penting dalam penerokaan angkasa lepas kerana ia adalah kapal angkasa yang pertama untuk melawat Pluto. – AFP