Newcastle ikat Townsend, Adebayor sertai Palace

Newcastle ikat Townsend, Adebayor sertai Palace

LONDON, 27 Jan – Newcastle United bersetuju mengikat pemain sayap Tottenham Hotspur, Andros Townsend dengan nilai 12 juta pound.

Townsend, 24, yang sering disenaraikan dalam skuad England musim lalu, hanya beraksi tujuh kali bersama Spurs dalam kesemua kejohanan musim ini dan belum tersenarai dalam kesebelasan Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Masa depan Townsend di kelab itu menjadi tidak menentu sejak November lalu apabila digantung dua minggu selepas berselisih faham dengan jurulatih kecergasan, Nathan Gardiner.

Ikatan itu menyaksikan Townsend muncul pemain ketiga yang diikat pengurus Newcastle, Steve McClaren dalam jendela perpindahan bulan ini selepas menandatangani Henri Saivet dan Jonjo Shelvey.

Sementara itu, Emmanuel Adebayor pula kembali mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris selepas melengkapkan perpindahan mengejut ke Crystal Palace, semalam. Perkara itu disahkan oleh kelab terbabit, yang mengikat penyerang Tottenham Hotspur itu sehingga akhir musim ini.

Adebayor kembali mewarnai kancah EPL selepas melengkapkan perpindahan mengejut ke Crystal Palace. – Reuters
Adebayor kembali mewarnai kancah EPL selepas melengkapkan perpindahan mengejut ke Crystal Palace. – Reuters

Bagaimanapun, Sportsmail difahamkan, perjanjian itu mungkin dilanjutkan sehingga akhir musim depan, yang mana secara dasarnya perjanjian selama 18 bulan bergantung kepada prestasinya selepas ini.

Palace akan membayar Adebayor sekitar 70,000 pound seminggu, dengan Spurs membayar baki 30,000 pound seminggu sehingga perjanjian beliau bersama White Hart Lane tamat pada Jun ini.

Adebayor meninggalkan Spurs dengan persetujuan bersama September lalu, tetapi kelab utara London itu masih bertanggungjawab untuk membayar gaji 100,000 pound setiap seminggu. Pemain berusia 31 tahun itu akan menyarung jersi No.25 di Selhurst Park. – Reuters/AFP