Newcastle kejutkan Man United

LONDON, 12 Feb – Matt Ritchie memberikan mimpi ngeri kepada Manchester United dengan kekalahan 1-0 di Newcastle, sementara Liverpool mengukuhkan kedudukan empat teratas dengan kemenangan 2-0 ke atas Southampton.

Kekalahan kedua United daripada tiga perlawanan terakhir Liga Perdana menyebabkan mereka ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Skuad kendalian Jose Mourinho berada di kedudukan kedua, ditewaskan oleh Tottenham dalam kunjungan terakhir mereka, gagal menghasilkan permainan terbaik mereka di St James’ Park dan menerima padah pada minit ke-65.

Pertahanan United, Chris Smalling dilayangkan kad kuning kerana sengaja merebahkan badan di kawasan sendiri dan pemain tengah Newcastle, Jonjo Shelvey membuat sepakan ke dalam petak penalti United, ditanduk Dwight Gayle ke arah Ritchie.

Lariannya tanpa dikawal oleh seorang pun pemain United dan pemain sayap Newcastle itu merembat kemas menewaskan David De Gea.

Pemain Newcastle, Matt Ritchie (tengah) meraikan jaringannya ke atas Man United bersama rakan sepasukan di St James’ Park. Perlawanan berkesudahan Newcastle menang 1-0. – AP

Mourinho memberikan tindak balas dengan menggantikan Paul Poga selepas satu lagi persembahan hambar pemain Perancis itu.

Dan United seharusnya menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu, namun Anthony Martial menyaksikan percubaannya ditampan dua kali oleh Gayle.

“Newcastle bermain seperti haiwan, saya harap mereka menerimanya sebagai pujian,” kata Mourinho.

“Ia serba tidak menjadi bagi kami hari ini (semalam). Newcastle memberikan apa yang mereka ada, itu sesuatu yang cantik dalam bola sepak.

“Kami melakukan kesilapan pertahanan dan apabila mendahului perlawanan, hanya satu mata di fikiran mereka iaitu mengekalkan gawang tanpa bolos.

Newcastle memasuki perlawanan itu dalam zon penyingkiran, tetapi kemenangan pertama daripada lima perlawanan liga, kejayaan pertama mereka ke atas United sejak 2013, melonjakkan mereka ke tangga ke-13. – AFP