Newcastle sekat Man City

Newcastle sekat Man City

NEWCASTLE, 20 April (AFP) – Jaringan ke-100 penyerang sensasi Manchester City, Sergio Aguero dalam saingan Liga Perdana Inggeris belum cukup untuk melakar kemenangan buat pasukannya apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan yang bergelut dengan zon penyingkiran, Newcastle United, awal pagi tadi.

Aguero yang juga penjaring terbanyak City membuka tirai jaringan selepas 14 minit tetapi skuad kendalian Manuel Pellegrini itu gagal mempertahankan kelebihan berkenaan apabila pemain antarabangsa Belanda, Vurnon Anita menjaringkan gol penyamaan sebelum tamat babak pertama yang juga jaringan pertamanya dalam tempoh dua tahun.

City kekal di tangga ketiga liga dengan kelebihan satu mata di depan Arsenal yang menghuni tangga keempat dan lima mata di depan Manchester United.

Anak buah Pellegrini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Leicester City.

“Saya sangat gembira. Kami bermula untuk memenangi perlawanan tetapi kami gagal mengawal perlawanan selepas itu.

Raheem Sterling berebut bola dengan pemain Newcastle United, Jack Colback. – AP
Raheem Sterling berebut bola dengan pemain Newcastle United, Jack Colback. – AP

“Kami sedar ia perlawanan yang sukar, kami hanya cuba untuk mendapatkan mata,” kata Pellegrini.

Sementara itu, keputusan seri menyaksikan Newcastle kurang dua mata untuk keluar daripada zon penyingkiran dan mereka dilihat mampu mengatasinya andai berjaya meningkatkan tahap prestasi dalam baki empat perlawanan musim ini.

“Saya perlu berpuas hati dengan keputusan ini kerana bertemu pasukan seperti City dan kembali bangkit daripada ketinggalan 1-0, kamu perlu gembira dengan reaksi yang ditunjukkan seluruh pasukan.

“Pasukan kini lebih percaya. Penyokong sentiasa berada di belakang pemain dan mereka akan berjuang sehingga tamat saingan,” kata pengurus Newcastle, Rafael Benitez.