Newseum iktiraf 14 lagi wartawan

Newseum iktiraf 14 lagi wartawan

WASHINGTON, 9 Jun (AFP) – Empat belas wartawan yang terbunuh ketika membuat liputan berita sepanjang tahun 2014 – termasuk dua yang dibunuh oleh militan Islam di Syria – diberi pengiktirafan semalam oleh Newseum, yang menambah senarai nama mereka pada memorial wartawan Washington.

Di antara mereka yang diberi penghormatan ialah mendiang James Foley, seorang wartawan bebas yang membuat laporan untuk GlobalPost, Agence France-Presse dan agensi berita lain dari Afghanistan, Libya dan Syria, serta Steven Sotloff, wartawan warga Amerika-Israel yang bertugas untuk majalah Time dan Christian Science Monitor.

Dengan penambahan 14 nama tersebut, memorial berkenaan kini mengiktiraf sejumlah 2,271 wartawan, jurugambar, penyiar dan eksekutif berita dari seluruh dunia, bermula sejak tahun 1837 lagi.

“Adalah betul, dan adil, bahawa kita berkumpul hari ini untuk mengingati apa yang dilakukan para wartawan ini, dan kenapa melakukannya,” kata ketua eksekutif Newseum, Peter Prichard, pada majlis penghormatan berkenaan.

Gambar fail menunjukkan mendiang James Foley bergambar kenangan ketika membuat liputan perang di Syria. – AFP
Gambar fail menunjukkan mendiang James Foley bergambar kenangan ketika membuat liputan perang di Syria. – AFP

John Foley, bapa kepada mendiang James Foley, berkata anak lelakinya dan Sotloff mengalami “kematian yang dahsyat” tetapi John “menjadi manusia yang mengagumkan kerana berusaha mempertahankan hak kita semua.”

Sementara itu, Gene Policinski, ketua pegawai operasi Institut Newseum, berkata memorial itu adalah cara untuk memperakui pengorbanan yang dilakukan para wartawan terbabit.